suria

Tiada Peraturan Pakai Kain Sarung - Setiausaha Kerajaan Selangor

Wartawan C. Premanthini (kanan) dan seorang penduduk Klang bergambar di bangunan SUK Selangor.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor meminta maaf kepada dua wanita yang diminta memakai kain sarung oleh seorang pengawal keselamatan sebelum memasuki bangunan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, kerajaan itu tidak pernah mengeluarkan arahan berkenaan dan pengawal keselamatan telah diberi amaran keras.

"Terdapat etika berpakaian tetapi kami tidak pernah mengeluarkan peraturan untuk memakai kain sarung. Kami akan memastikan insiden seperti itu tidak berlaku lagi," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Khusrin berkata kerajaan negeri juga tidak pernah mengarahkan orang ramai yang pergi ke bangunan SUK untuk balik sekiranya tidak memakai pakaian sewajarnya.

"Kami akan menasihatkan mereka untuk memakai pakaian yang sesuai pada masa akan datang. Kami tidak menghalau mereka atau meminta mereka untuk memakai kain sarung," katanya.

Ditanya sekiranya ia boleh jadi satu tindakan berunsur sabotaj, beliau berkata pengawal keselamatan tersebut mendakwa dia membuat keputusan tersebut dengan sendiri.

Terdahulu, Menteri Besar Azmin Ali juga berkata, tiada arahan memakai kain sarung.

"Kami tidak ada peraturan seperti itu," katanya ketika ditemui selepas satu majlis di Istana Kayangan di Shah Alam.

peraturan, kain sarung, bangunan SUK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain