suria

Perpecahan Dalam Gabungan Pembangkang Bawa Implikasi Buruk Jika Memerintah - Khairy

KUALA LUMPUR: Perpecahan dalam pakatan pembangkang mungkin membawa implikasi yang lebih buruk sekiranya mereka mentadbir negara ini, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sekiranya sebuah pakatan itu runtuh, ia akan menjejaskan keyakinan pelabur asing serta masyarakat antarabangsa terhadap ekonomi dan politik negara.

"Saya nasihatkan rakyat tidak ambil risiko dalam pilihan raya, kerajaan persekutuan yang memerintah mestilah kuat dan mampu bertahan bagi mentadbir negara.

"Kerajaan yang tidak stabil akan musnah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat DAP dalam mesyuaratnya.

Khairy, yang juga Menteria Belia dan Sukan, berkata perbezaan pendapat serta ideologi dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang merupakan faktor penyumbang kepada keretakan kesatuannya.

Beliau berkata berbeza dengan Barisan Nasional (BN), setiap komponen parti dapat menyelesaikan masalah dengan baik walaupun berdepan pelbagai cabaran.

"BN masih bertahan walaupun terdapat kepelbagaian. Kita dapat jaga dengan baik 13 parti komponen dengan mendokong ideologi yang sama.
"Pakatan hanya ada tiga parti tapi tidak boleh bertahan. Kita lihat hanya BN satu kumpulan yang boleh memerintah negara," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata Pemuda Umno akan menganjurkan Hari Terbuka Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada pada 30 Jun ini di Pusat Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras.

Katanya hari terbuka itu akan dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan bagi memberikan maklum balas secara terus mengenai pelaksanaan GST.

"Majlis seumpama ini pertama kali diadakan dan kita sasarkan 1,000 kehadiran terdiri daripada orang ramai dan pemain industri terlibat bagi mendapatkan penjelasan mengenai beberapa isu berbangkit berkaitan GST," katanya.

Khairy berkata mesyuarat pada Isnin juga turut dimaklumkan mengenai jumlah pendaftaran keanggotaan baharu Pemuda bagi Mei lepas iaitu sebanyak 3,900 orang.

Menurutnya, Perak mencatatkan jumlah keanggotaan baharu paling ramai dengan jumlah sebanyak 1,123 anggota.

Artikel Lain