suria

Jemaah Haji M'sia Dijangka Guna Metro Line Tahun Ini - Najib

Najib melancarkan Program Ramadan Al-Mubarak peringkat nasional anjuran Biro Kebajikan UMNO di Masjid Negara, disini Ahad.

KUALA LUMPUR:Jemaah haji Malaysia musim ini dijangka menggunakan Metro Line, perkhidmatan keretapi elektrik yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, semasa menjalani ibadah itu di tanah suci nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan mengendalikan operasi itu pada tahun ini.

Pada kebiasaannya sebelum ini, jemaah haji menggunakan bas untuk ke destinasi itu. Perkhidmatan Metro Line sepanjang 18km itu akan memudahkan dan memendekkan masa perjalanan jemaah haji.

"Kalau kita naik haji musim ni, kita akan naik Metro Line, operatornya adalah Prasarana yang telah mendapat kontrak bernilai RM900 juta...orang Islam dari Malaysia sendiri yang mengendalikan Metro Line ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Program Ramadan Al-Mubarak peringkat nasional anjuran Biro Kebajikan UMNO di Masjid Negara, disini Ahad.

Hadir sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Azeez Abdul Rahim, Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua bahagian UMNO Wilayah Persekutuan.

Najib yang mengadakan lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini, turut meninjau operasi perkhidmatan tersebut.

Perdana Menteri berkata rundingan dan perbincangan antara kedua-dua negara masih lagi berjalan agar Malaysia mendapat tambahan kuota haji.

"Kita sedia maklum kuota haji terhad. Kalau ada jemaah mohon hari ini, tidak mustahil 71 tahun akan datang baru dapat giliran tunaikan haji.

"Kerana itu kita sentiasa buat rundingan dan mohon bantuan dari Arab Saudi. Kita harap ada rezeki (tambah kuota)," katanya.

Najib menjelaskan oleh itu adalah penting untuk menjaga hubungan baik Malaysia-Arab Saudi dalam pelbagai konteks termasuk ibadah haji demi kepentingan kedua-dua negara.

Menurutnya hubungan akrab kedua-dua negara turut dapat dilihat apabila Arab Saudi membenarkan Malaysia, satu-satunya negara yang boleh menggunakan ruang udara mereka dalam misi bantuan kemanusiaan membawa balik pelajar Malaysia yang menuntut di Yemen dan Mesir sebelum ini.

Dilapor, kuota haji bagi jemaah Malaysia untuk tahun ini ialah 22,230 orang. 

Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO, kemudiannya menyampaikan kurma, air zam-zam dan kain baju Melayu kepada ketua-ketua UMNO bahagian Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Labuan untuk disampaikan ke masjid-masjid  seluruh negara.

Menurutnya ini merupakan komitmen berterusan parti dalam memartabatkan dan memuliakan hubungan silaturahim umat Islam khasnya sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

-- BERNAMA
Najib, Jemaah Haji

Artikel Lain