suria

KDN Disaran Percepatkan Pengecualian Visa Pelancong China

SITIAWAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyegerakan cadangan pengecualian visa kepada pelancong dari China yang mengunjungi negara ini secara berkumpulan bagi meningkatkan sektor pelancongan negara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata ia merupakan langkah baharu bagi menarik minat lebih ramai pelancong China datang ke Malaysia selain perlu bersaing dengan negara ASEAN lain yang turut memberi fokus terhadap pelancong dari negara itu yang mampu meningkatkan sektor pelancongan di negara masing-masing.

"Ini adalah usaha yang baik kerana kita tahu China adalah negara yang besar dan kita cuma ada beberapa pejabat Kedutaan di China, jadi apabila mereka ingin membuat visa, ia jauh dari tempat mereka dan memakan masa, sekali gus menghalang mereka untuk datang ke Malaysia disebabkan jarak dan proses membuat visa yang mengambil masa terlalu lama.

Jadi jika cadangan ini berjaya, pelancong China menerusi ejen pelancongan tidak perlu membuat visa dan mereka boleh datang ke Malaysia bila-bila masa sahaja sekali gus menggalakkan kehadiran lebih ramai pelancong dari China ke Malaysia,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCA Bahagian Lumut di Kampung Selamat di sini Ahad.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ketua MCA Bahagian Lumut, Tan Sri Kong Cho Ha.

Liow berkata bagaimanapun, pelancong yang datang secara individu masih perlu mendapatkan visa mengikut prosedur sedia ada untuk memastikan mereka pulang ke negara asal dalam tempoh yang ditetapkan. 

"Kita juga memahami situasi KDN yang mahu memastikan keselamatan negara terjamin tetapi dalam masa yang sama kita memerlukan peningkatan jumlah pelancong ke negara kita, dan ini adalah salah satu cara yang mana menerusi ejen pelancongan, mereka akan keluar ke negara kita secara berkumpulan.  

"Jadi tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan terutama mengenai isu keselamatan kerana mereka datang ke negara kita secara berkumpulan,"katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam mesyuarat jemaah menteri membangkitkan supaya cadangan pemansuhan visa terhadap pelancong China disegerakan bagi meningkatkan jumlah kemasukan pelancong asing ke negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Butterworth yang dijangka siap sepenuhnya bulan hadapan, Liow berkata wakil kerajaan negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan akan mencuba perkhidmatan itu terlebih dahulu dari Ipoh ke Butterworth.

Langkah itu bagi melihat perkembangan perkhidmatan itu selain merasa sendiri kelajuan keretapi berkenaan yang merupakan salah satu perkhidmatan keretapi terbaik di Malaysia sebelum dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

"ETS akan memberi perkhidmatan yang bagus di kawasan ini. Saya akan umumkan bila ETS ini akan mula beroperasi pada 9 Julai nanti bersama-sama pakej yang akan disediakan,"katanya. --BERNAMA

KDN

Artikel Lain