suria

Pintu Hadapan Pusat Khidmat Adun Padang Kota Dibakar

GEORGE TOWN: Terdapat kesan bakar pada pintu hadapan Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota Chow Kon Yeow di Kompleks Jalan Kedah di sini, dipercayai dibakar dalam kejadian awal pagi Ahad. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan pegawai Chow untuk memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata menurut pegawai berkenaan, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kompleks itu.

"Sebaik dimaklumkan, beliau terus ke pusat khidmat itu dan mendapati terdapat kesan bakar di hadapan pintu sebelum memberitahu Adun Padang Kota," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata pegawai itu juga telah melihat rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang terdapat di pusat khidmat itu tetapi ia tidak jelas dan hanya kelihatan kelibat seorang lelaki yang membakar bahan api di hadapan pintu pejabat.

"Berdasarkan rakaman CCTV, lelaki itu dipercayai membakar pintu jenis aluminium kira-kira pukul 3.04 pagi tadi dan kebakaran terbabit turut menyebabkan kain rentang yang digantung di hadapannya terbakar.

"Cuma wajah lelaki terbabit tidak nampak kerana tidak jelas berikutan keadaan gelap di situ," katanya. 

Mior Faridalatrash berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Sementara itu, Chow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang ketika dihubungi berkata beliau mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh pegawainya dan terus bergegas ke pusat khidmat untuk melihatnya.

Katanya beliau terkejut dengan kejadian itu dan berharap pihak bertanggungjawab dapat ditahan polis.

-- BERNAMA
Adun Padang Kota

Artikel Lain