Mayat Lelaki Ditemui Di Hutan Melintang - Semasa | mStar

Mayat Lelaki Ditemui Di Hutan Melintang

HUTAN MELINTANG: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring dipercayai dibunuh di Kampung Melayu Jenderata, Batu 10, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mangsa, N.Jayasilan, 42, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bahagian belakang kepala dengan kesan luka di bahagian mukanya pada kira-kira 6.40 pagi Ahad.

Beliau berkata sepasukan anggota polis dari Balai Polis Hutan Melintang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menemui mayat di atas jalan raya.  

"Mangsa yang beralamat di Batu 10 di sini, berbaju kemeja-T warna merah serta berseluar jeans biru ketika ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Beliau berkata bagaimanapun, pihaknya tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian. 

Mohd Shuhaily berkata polis masih menyiasat punca kematian dan percaya ia sebagai kes bunuh. 

Polis juga sedang berusaha mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian itu, katanya. 

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

-- BERNAMA
Mayat Lelaki , Hutan Melintang

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!