suria

Tun M Langgar Prinsip Sendiri - Annuar Musa

Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap melanggar prinsip dirinya apabila memilih untuk memberi kenyataan mengkritik pemerintahan negara ini kepada media asing.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berkata, suatu ketika dahulu, tindakan sedemikian pernah menjadi perkara paling tidak disukai Dr Mahathir, terutama apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan perkara sama.

"Kita berdukacita apabila Tun memilih untuk bersuara kepada media luar negara yang mana ia satu-satunya perkara yang sangat dia tidak suka ketika pemerintahannya.

"Sebagai menteri yang pernah berkhidmat di zaman Tun, ia membuatkan saya keliru kerana apa yang dia ajar pada zaman dia dahulu tidak dilakukannya, kita kesal dengan perkara itu tetapi tidak boleh menolak hak dia untuk bersuara," ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Mara, di sini, Jumaat.

Annuar mengulas mengenai sebuah artikel  The New York Times  yang menyiarkan kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika ditemubual di Putrajaya baru-baru ini.

Menerusi temubual itu, Dr. Mahathir juga melontarkan pandangan bahawa Umno dikuasai golongan ‘Napoleon kecil’ yang menyekat kemasukan individu berbakat dan bijaksana dalam parti semata-mata untuk membolehkan mereka terus berkuasa.

Bagaimanapun, Annuar berkata, dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil langkah bijaksana untuk menanganinya tanpa berlaku sesuatu yang tidak sopan kepada individu yang banyak berjasa kepada negara.

"Dia kekal sebagai negarawan negara dan hak seseorang yang sangat dihormati. Oleh itu, kerajaan perlu berhadapan perkara ini dengan cara paling baik.

"Kalau isu yang dibangkitkan silap, kerajaan perlu beri penjelasaan dan kalau apa yang dibangkitkan itu perkara benar, anggaplah ia satu peringatan dan cuba untuk perbaiki," katanya.

Sementara itu, beliau juga masih ingat kata-kata Dr Mahathir bahawa kemajuan dan perkembangan negara berpunca daripada kestabilan politik negara itu sendiri.

Bagaimanapun, katanya, situasi itu tidak akan berlaku jika negara sering diserang dan terkait dengan berita-berita negatif yang tidak sahih, sekali gus menjejaskan peluang kemasukan pelabur serta ekonomi negara.

"Kestabilan politik tidak boleh berlaku jika berita yang tidak tepat sering berlegar-legar dan ia akan memberi persepsi buruk kepada pelabur dan akhirnya memberi kesan kepada negara," katanya.

Ditanya mengenai cabaran Dr Mahathir untuk berdebat dengan Perdana Menteri, katanya, sesiapa sahaja boleh melakukan perkara itu.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada Perdana Menteri untuk menerima atau tidak.

"Siapa sahaja berhak mencabar Perdana Menteri untuk berdebat, namun terpulang kepada Perdana Menteri untuk terima atau tidak atau menjawab cabaran itu dengan kaedah-kaedah yang lain.

"Bagi saya ia adalah ujian sebagai seorang Perdana Menteri dan begitu juga menteri-menteri sekarang yang berhadapan dengan media sosial yang meluas kerana zaman saya dahulu tiada," katanya.

Tun Mahathir, Annuar Musa, MARA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain