suria

Malaysia Perhebat Pencarian Kapal Tangki

KUALA LUMPUR: Malaysia memperhebatkan pencarian kehilangan kapal tangki MT Orkim Harmony dengan menggunakan bantuan teknologi satelit daripada beberapa negara jiran untuk mengesan kedudukan terakhir kapal itu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan negara-negara jiran itu dalam mengumpul data berkaitan pencarian kapal berkenaan.

"Kita sedang berusaha mengesan lokasi akhir MT Orkim Harmony, namun masih belum mendapat sebarang isyarat atau 'transmission' daripada kapal itu.

"Satelit masih gagal mengesan kedudukan dan isyarat kapal itu, mungkin disebabkan faktor cuaca dan kordinasi (kedudukan kapal itu)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

MT Orkim Harmony, yang membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta, hilang semasa dalam pelayaran dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan pada 12 Jun lalu.

Kapal tangki berpendaftaran di Malaysia itu membawa 22 orang kru iaitu 16 warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Ahmad Puzi berkata, kawasan pencarian yang sangat luas juga merupakan salah satu faktor yang menyukarkan operasi pencarian walaupun lima pesawat, lapan kapal dan tiga bot digunakan dalam operasi berkenaan.

"Bagaimanapun, tengah hari tadi sebuah lagi pesawat dari Australia turut menyertai operasi pencarian, di mana ia mempunyai kapasiti terbang selama 10 jam," katanya sambil menambah setakat ini enam pesawat terlibat dalam operasi itu.

Tambah beliau, Amerika Syarikat juga bersetuju menghantar sebuah lagi pesawat dalam masa terdekat bagi membantu mengesan MT Orkim Harmony.

Beliau berkata, walaupun operasi pencarian tidak mendapat sebarang petunjuk positif setakat ini, namun misi pencarian tetap akan diteruskan sehingga kapal tangki itu ditemui.

Ahmad Puzi juga berkata pihak APMM mahupun syarikat milik kapal tangki itu setakat ini tidak menerima sebarang panggilan tebusan untuk meminta wang.

Ron95, Minyak Kapal Tangki

Artikel Berikut

Artikel Lain