suria

Bukan Parti Politik Baharu, Tetapi NGO - Nazir

Nazir Razak

PETALING JAYA: Bukannya parti politik baharu yang akan dibentuk, hanya idea untuk menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO), kata Datuk Seri Nazir Tun Razak.

"Saya merujuk kepada laporan berita baru-baru ini yang menyatakan saya akan membentuk parti politik baharu. Ia tidak benar," kata Pengerusi Kumpulan CIMB ini menerusi kenyataan pada Rabu.

Nazir yang juga adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau sendiri bimbang dengan situasi sosio politik serta kesannya kepada ekonomi negara.

"Dalam konteks ini, saya berbual bersama rakan, termasuk Datuk Saifuddin Abdullah untuk mengetahui langkah terbaik bagi membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan pandangan, kebimbangan dan cadangan," kata Nazir.

"Kami telah berbincang untuk menubuhkan NGO, tetapi ia hanya pandangan sahaja setakat ini," katanya.

Sebelum ini, media sosial mengaitkan Nazir kononnya akan membentuk sebuah parti politik baharu apabila beliau dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh perniagaan di Britain dan Kuala Lumpur bagi membincangkan mengenai penubuhannya.

Laporan tersebut turut mengatakan bahawa Nazir telah menemui Saifuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) untuk menjadi 'wajah hadapan' parti berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, walaupun Saifuddin dilihat sebagai seorang moderat tetapi ia tidak mempunyai pengaruh atau kekuatan yang diperlukan sebagai peneraju untuk meraih sokongan sebaliknya Nazir perlu menjadi penggerak utama atau usaha ini tidak akan terlaksana.

Isu berhubung penubuhan parti baharu ini muncul di tengah-tengah kemelut dan ketengangan dalam Pakatan Rakyat yang menyaksikan DAP pada Selasa mengisytiharkan Pakatan Rakyat telah terkubur.


Nazir Razak, NGO, Saifuddin Abdullah

Artikel Lain