suria

BN Tidak Akan Campur Tangan Krisis MIC

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan campur tangan dalam krisis kepimpinan MIC yang kini kelihatan semakin meruncing, kata setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata walaupun BN prihatin tentang perkembangan yang sedang berlaku, beliau percaya MIC mampu menyelesaikan masalah mereka dengan sendiri.

"Mereka rasa mereka dapat menyelesaikan masalah itu, jadi serahkan sahaja kepada mereka (untuk menyelesaikan perkara dalaman parti itu).

"Bagaimanapun, sebagai setiausaha agung Barisan Nasional, saya menasihati mereka supaya berfikirlah dengan rasional dan bersatulah kerana masyarakat India memerlukan MIC untuk mencapai hasrat mereka," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat pada Rabu.

Pada Selasa, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menggantung keanggotaan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan 14 yang lain selama setahun berkuat kuasa serta merta kerana mengingkari arahannya supaya tidak mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara parti itu.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam menganggap penggantungan keanggotaan beliau dan 14 yang lain daripada parti itu sebagai tidak sah dan Palanivel kemudiannya menegaskan bahawa beliau masih presiden MIC serta menyangkal dakwaan CWC parti itu.

Tengku Adnan berkata BN telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan MIC dan mengesyorkan beberapa penyelesaian, tetapi tidak dipersetujui parti itu.

"Kami sudah banyak kali berbincang dengan mereka serta menawarkan beberapa penyelesaian...tetapi mereka tidak menerimanya," kata beliau.

Tengku Adnan bagaimanapun menolak dakwaan bahawa krisis yang melanda MIC akan menjejaskan prestasi BN.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata dalam menangani krisis MIC, keputusan mahkamah perlu dikaji secara holistik dan penghakiman bertulis pula perlu dikaji secara terperinci.

"Saya perlu dapatkan penghakiman bertulis mengenainya dahulu sebab kumpulan dalam parti itu saling memecat satu sama lain dengan menggunakan perlembagaan mereka. Memanglah mereka telah merujuk kepada peguam masing-masing, tetapi keputusan mahkamah perlu dikaji dengan teliti terlebih dahulu," katanya.

BN, MIC

Artikel Sebelum

JHEAIK Tahan 15 Pondan

Artikel Lain