suria

Kawasan Kapal Hilang Adalah Kawasan 'Panas' Lanun

Datuk Seri Shahidan Kassim
KUALA LUMPUR: Pulau Mungging di Selatan Johor dan Pulau Bintan, Indonesia telah dikenalpasti antara kawasan 'panas' lanun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memantau kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang insiden membabitkan kegiatan lanun.

"Kawasan perairan kita sentiasa dikawal rapi dan setakat ini kawasan perairan Malaysia antara perairan yang selamat terutamanya Selat Melaka," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat Selasa.

Beliau mengulas status kapal tangki MT Orkim Harmony milik Malaysia yang disyaki dirompak lanun di perairan Laut China Selatan.

Shahidan berkata pihak APMM sedang bekerjasama dengan negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam mengesan lokasi kapal itu di perairan Laut China Selatan.

"Mereka (APMM) telah menggerakkan aset mereka di Sabah dan Sarawak untuk membantu dan saya dimaklumkan maklumat terkini tentang perkara ini setiap jam.

"Kapal itu kecil sahaja dan ia bawa minyak RON95, kalau nak jual pun akan hadapi masalah sebab ia mudah terbakar," katanya.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa hampir 6,000 tan metrik muatan petrol RON95 sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan apabila ia dilapor hilang.

Kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu membawa 22 kru iaitu 16 warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.


Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata kehilangan kapal tangki itu yang dianggarkan bernilai RM21 juta menjurus kepada rompakan lanun.

Artikel Lain