suria

1MDB Nafi Dakwaan Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Selasa menafikan pelbagai dakwaan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dalam blognya yang bertajuk 'The 1MDB Story' dan 'More Investments By 1MDB.'

Antara lain, isu membabitkan wang Lembaga Pelaburan Terengganu TIA, pembelian tanah serta usaha sama dengan PetroSaudi selain RM2 bilion yang dikatakan dipinjam daripada jutawan Ananda Krishnan.

"Tidak berlaku cubaan untuk 'merampas' wang TIA," kata 1MDB dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 2009, pelbagai perbincangan berlangsung antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu mengenai sumbangan setiap pihak sebagai pembiayaan untuk TIA, dengan pelbagai pilihan dibincangkan, katanya.

Akhirnya, sumbangan Kerajaan Persekutuan membabitkan jaminan terbitan Sukuk RM5 bilion Sukuk oleh TIA, yang dilaksanakan pada 29 Mei 2009, sebelum TIA dijadikan badan milik Kerajaan Persekutuan. 

"Susulan itu, kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk menarik diri daripada TIA, yang menjurus kepada entiti itu menjadi milik Kerajaan Persekutuan
pada Julai 2009."

Bertentangan dakwaan bahawa tiada kertas kabinet dibentangkan mengenai terbitan Sukuk terbabit, 1MDB berkata kertas Kabinet mengenai perkara itu disediakan dan diluluskan oleh Kabinet, selari dengan amalan standard, sama seperti semua jaminan lain kerajaan.

"Tambahan pula, jaminan kerajaan bukannya 'off-budget' seperti didakwa. Ia merupakan liabiliti yang jelas dan diperakui Kerajaan Persekutuan, yang memegang
 100 peratus kepentingan 1MDB," katanya. 

Mengenai dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa semua orang mengetahui Ananda Krishnan perlu menyediakan RM2 bilion untuk membayar faedah, syarikat pembangunan strategik itu berkata 1MDB memang meminjam wang RM2 bilion yang diurus oleh anak syarikat Tanjong PLC, yang digunakan untuk membayar pinjaman RM2 bilion yang disediakan oleh sebuah sindiket peminjam dalam negara.

"Ia tidak digunakan untuk membayar faedah, seperti yang didakwa Tun Mahathir," katanya.

Menurut 1MDB aturan itu berkait dengan perjanjian langganan Powertek Investment Holdings (PIH), anak syarikat Tanjong, dengan Tanjong bersetuju melanggan ekuiti dalam PIH sehingga RM2 bilion, dengan keuntungan akan digunakan semata-mata untuk PIH untuk membayar balik pinjaman yang diperoleh menerusi kemudahan pinjaman RM5.5 bilion yang diurus oleh Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.

”Oleh itu, jelas bahawa Tanjong mempunyai obligasi untuk melanggan sehingga  RM2 bilion ekuiti dalam PIH, dengan keuntungan akan digunakan untuk membayar
balik kemudahan pinjaman," kata 1MDB.

Namun katanya disebabkan kerahsiaan, ia tidak dapat menjelaskan lebih lanjut kandungan perjanjian itu yang membabitkan mengapa pihak-pihak yang terlibat
akhirnya mengubah pelaburan ekuiti RM2 bilion kepada pinjaman RM2 bilion, katanya.

Mengenai dakwaan berhubung 70 ekar tanah di Jalan Tun Razak yang dijual oleh kerajaan kepada 1MDB pada harga RM320 juta, sedangkan tanah berdekatan dijual
pada RM7,000 sekaki persegi, dan 1MDB perlu membayar sekurang-kurangnya RM3,000 hingga RM4,000 sekaki persegi, 1MDB berkata ia membayar RM230 juta, bukan RM320 juta, untuk membeli tanah itu.

1MDB berkata ia membayar RM230 juta, bukan RM320 juta untuk membeli tanah berkenaan. Ia menegaskan bahawa 1MDB merupakan syarikat 100 peratus milik kerajaan dan oleh itu, sebarang pemindahan tanah kepada 1MDB dan seterusnya akan memberikan manfaat dari segi peningkatan nilai tanah 100 peratus untuk kerajaan.

"Kos infrastruktur yang dipertanggungjawabkan kepada 1MDB untuk menyiapkan Tun Razak Exchange sekurang-kurangnya RM1,500 sekaki persegi. Ini memberi faedah langsung kepada pembeli dan merupakan sebahagian daripada harga pembayaran."

Mengenai dakwaan bahawa 'PetroSaudi tidak membayar 'satu sen pun' dalam usaha sama dengan 1MDB, ia berkata PetroSaudi, menerusi anak syarikatnya, memiliki aset membabitkan hak ke atas medan minyak di Turkmenistan dan Argentina, bernilai kira-kira US$2.7 bilion. 

Aset-aset ini dijual oleh PetroSaudi kepada anak syarikat yang lain 'Joint Venture Company,' yang pada masa aset dijual, merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh/dan pada asalnya 100 peratus milik PetroSaudi bagi memenuhi tujuan melaksanakan cadangan usaha sama dengan 1MDB.

1MDB, Tun Mahathir

Artikel Lain