suria

18 Keluarga Di Bagan Serai Ditempatkan Di Pusat Pemindahan Banjir

IPOH: Sejumlah 52 mangsa daripada 18 keluarga dari lima kampung di Bagan Serai di sini, ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah selepas rumah mereka dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai Azmir Hassan berkata mereka mula berpindah malam Sabtu lepas sehingga malam semalam selepas air mula memasuki kediaman mereka.

"Setakat ini di Kampung Batu 38, terdapat 10 mangsa daripada empat keluarga; di Kampung Tanjung Bugis (11 mangsa daripada lima keluarga); Kampung Ban Pisang (sembilan mangsa daripada dua keluarga); Kampung Parit Abu Hassan Ban (18 mangsa daripada empat keluarga) dan Kampung Parit Air Hitam 2 (empat mangsa daripada tiga keluarga) dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

"Pelepasan air melalui Empangan Bukit Merah telah dikurangkan secara berperingkat mulai semalam dan dengan cuaca yang bertambah baik, kemungkinan air akan mula surut," katanya ketika dihubungi Isnin.

Kawasan terbabit mula dinaiki air pada kira-kira 6 petang Sabtu lepas berikutan air empangan Bukit Merah dilepaskan susulan hujan lebat di kawasan itu. 

-- BERNAMA
Banjir

Artikel Lain