suria

Nazri Dipanggil Soal Siasat Kerana Cabar TMJ - Ketua Polis Negara

PETALING JAYA: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz akan dipanggil untuk disoal siasat berikutan mencabar Tunku Mahkota Johor, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara berkata Nazri akan disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan berikut kenyataan beliau terhadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang boleh menyebabkan kemarahan orang ramai.

"Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Nazri kerana beliau membuat kenyataan pada Sabtu.

"Kami juga akan mencatatkan kenyataan beliau," katanya ketika dihubungi Ahad.

Khalid menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan membiarkan pihak polis membuat siasatan terhadap perkara itu.

Pada Sabtu, Tunku Ismail diminta tidak mencampuri urusan politik melainkan jika dia bersedia untuk 'dibelasah'.

Merujuk kepada kenyataan Tunku Ismail terhadap Perdana Menteri kerana tidak menghadiri dialog mengenai isu-isu nasional minggu lepas, Nazri berkata,

“Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan whack (belasah) dia.

“Raja-raja dan keluarga diraja ini berada di atas undang-undang. Kalau dia (Tunku Ismail) mahu menjadi ahli politik, jadi dia perlu beritahu. Kemudian kita boleh menjawab balik.

“Kamu memegang jawatan penting di negeri...kalau kerajaan “belasah” kamu balik, jangan marah,” kata Nazri.

Tunku Ismail, dalam video yang dimuat naik di laman Johor Southern Tigers Facebook kemudian, menunjukkan tanda isyarat tanpa suara.

Kebanyakan komen menyuarakan sokongan mereka terhadap beliau.

Pada 5 Jun, Tunku Ismail mengkritik keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak menghadiri sesi dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan di Pusat Dagangan Dunia Putra.
TMJ, Nazri Aziz

Artikel Lain