suria

Gempa Sabah: Lukisan Mural 'Dipadam' Kerana Tempoh Berkabung Tamat

KOTA KINABALU: Tindakan memadam lukisan mural seorang malim gunung mendukung seorang kanak-kanak lelaki dengan cat kapur, menimbulkan kemarahan orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa gempa bumi di Sabah.

Lukisan mural tersebut 'dipadamkan dengan cat kapur' kerana tempoh berkabung 18 mangsa yang maut dalam tragedi gempa bumi, 5 Jun lalu berakhir pada Jumaat.

Menurut entri di laman Facebook, kumpulan seni, The Cracko yang melukis mural tersebut, tempoh berkabung selama tujuh hari sudah berakhir pada Jumaat mengikut adat resam mereka.

"Dalam ritual tradisi roh 'momisok', kami akan memadamkan lukisan mural di bangunan warisan yang menandakan tempoh berkabung selama tujuh hari telah tamat.

"Pada hari ke-40 dan juga hari ke-100 (menurut adat tradisional), kita akan menghasilkan mural untuk memperingati mereka yang telah pergi dan memberi penghormatan terakhir kepada mereka yang membantu dalam setiap cara. Kesemua mural akan dipertontonkan selama tujuh hari," kata kumpulan tersebut.

Namun, pelancong asing dan pengunjung yang hadir pada majlis penghormatan terakhir itu kecewa apabila lukisan mural tersebut dipadamkan dalam masa yang singkat.

Jambangan bunga dan beberapa barang lain yang dibawa ke tapak yang dijadikan sebagai kawasan peringatan sementara, dipindahkan ke satu lokasi yang terletak di hujung bangunan kolonial British lama di Kota Kinabalu.

Beberapa pengunjung yang hadir berkata mereka bukan sahaja datang untuk memberikan penghormatan terakhir tetapi menghargai malim gunung yang juga dianggap sebagai wira sebenar.

Lukisan tersebut menggambarkan seorang malim gunung, Mohd Rizuan Kauhinin, 25, yang menyelamatkan seorang murid warga Singapura berusia 12 tahun yang dikenali sebagai Wafeeq.

Rizuan dijemput untuk pergi ke Singapura dalam masa terdekat bersama beberapa malim gunung yang terlibat dalam operasi menyelamat di Gunung Kinabalu untuk bertemu keluarga mangsa dari negara itu.


malim gunung, lukisan mural

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain