suria

Pasangan Suami Isteri Didakwa Bunuh, Lupus Mayat Anak Lelaki

Loo dan Tan didakwa membunuh dan melupuskan mayat anak mereka.

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri pada Jumaat didakwa di Mahkamah Majistret Selayang berikutan penemuan mayat anak lelaki mereka yang telah reput dan ditanam di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong, Mac lepas.

Bapa kanak-kanak itu, Loo Chon Wen, 33, didakwa membunuh mangsa Loo Yong Shen Evan, 9, manakala ibunya Tan Boa Jia, 33, didakwa atas tuduhan melupuskan mayat mangsa.

Loo yang tidak bekerja, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan, dan tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Loo diwakili peguam K Sarisnadevi dan didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No. 26, Jalan 10, Taman Usaha Jaya, Kepong, pada 2 petang, 29 Mac lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Majistret Nurul Izzah menetapkan 6 Ogos untuk sebutan kes.

Sementara itu, Tan yang merupakan seorang suri rumah, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menanam mayat mangsa di dalam rumah tersebut dengan niat melindungi suaminya di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Kitson Foong, yang mewakili Tan untuk merujuk anak guamnya kepada pakar psikiatri bagi mendapatkan laporan mental tertuduh selepas peguam itu mendakwa ibu mangsa mengalami sindrom kemurungan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Julai untuk sebutan semula kes terhadap Tan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Arunjothy.


bunuh, lupus, mayat anak

Artikel Lain