suria

Sekarang Bukan Masa Sesuai Naikkan Kadar Tol

PUTRAJAYA: Tolong jangan bebankan kami lagi dengan kenaikan kadar tol, kata orang ramai dan syarikat pengangkutan.

Orang ramai yang ditemui berkata, mereka sukar untuk menampung kos peningkatan harga makanan yang semakin meningkat dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta tidak mampu untuk menghadapi kenaikan baharu.

Pengendali lori dan bas berkata, kenaikan kadar tol akan meningkatkan lagi kos operasi yang sedang dihadapi mereka pada ketika ini.

Satu mesyuarat Kabinet membincangkan kenaikan kadar tol sehingga 30 peratus pada tahun ini.

Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tidak akan terjejas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan mengenai kenaikan tol masih belum dimuktamadkan.

Butiran akan dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, katanya selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam Jumaat.

Beberapa menteri pada mesyuarat Kabinet turut menentang kenaikan tersebut.

"Mereka merasakan bahawa sekarang bukan masa terbaik untuk menaikkan kadar tol apabila harga lain turut meningkat baru-baru ini," kata sumber.

Tiada keputusan telah dibuat dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengeluarkan kenyataan berkata, kementerian tersebut akan mengadakan 'perbincangan lanjut' dengan pengendali tol.

Beliau berkata, ahli Kabinet telah memberikan maklum balas mereka dan 'Saya akan mempertimbangkan satu persatu maklum balas tersebut.'

Rancangan untuk menaikkan kadar tol pada 2011 tidak berjaya apabila kerajaan memberi pampasan kepada pengendali tol.

Jumlah yang dibayar dirahsiakan tetapi menurut laporan pada tahun lalu, ia dianggarkan berjumlah RM400 juta.

Kini sudah tiba masanya sama ada membenarkan pengendali menaikkan kadar tol pada tahun ini atau membayar pampasan semula.

Pampasan pada kali ini dianggarkan RM558.9 juta, menurut satu laporan yang memetik Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid ketika berucap di Dewan Rakyat pada tahun lalu.

Beliau berkata, pampasan itu perlu dibayar sekiranya kerajaan tidak mahu tol dinaikkan di 20 lebuhraya.

Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata sekarang bukan masa sesuai untuk menaikkan kadar tol.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paul Selvaraj berkata rakyat Malaysia sudah berdepan banyak tekanan akibat kenaikan pelbagai kos lain.


kenaikan tol

Artikel Lain