suria

Sekarang Bukan Masa Naikkan Kadar Tol Lebuh Raya - Fomca

PETALING JAYA: Sekarang bukan masanya untuk menaikkan kadar tol lebuh raya, kata Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Datuk Paul Selvaraj berkata, rakyat sudah dibebani banyak tekanan akibat kenaikan kos maka kadar tol tidak perlu dinaikkan lagi.

"Terdapat juga ketidakstabilan ekonomi. Graduan berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan kerja, dan banyak yang menganggur," katanya.

Paul berkata, daripada menaikkan kadar tol, perkara pertama yang kerajaan perlu fikirkan adalah pengangkutan awam kerana masih belum memberikan tumpuan sepenuhnya sedangkan keperluan meningkat terhadap kemudahan itu. 

"Bila pengangkutan awam tidak bagus, rakyat terpaksa menggunakan kereta. Mereka sepatutnya tidak dikenakan kadar tambahan lagi kerana berbuat demikian.

"Oleh itu, kerajaan sepatutnya fikir untuk mengurangkan tol, bukannya menaikkannya. Tumpukan kepada pengangkutan awam," katanya tegas.

Kerajaan kini serius memikirkan langkah untuk menaikkan kadar tol sebanyak 30 peratus.

Menurut sumber, perkara berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Jumaat.

Langkah itu dijangka akan membabitkan sekurang-kurangnya 16 lebuh raya.

Namun jumlah itu boleh meningkat kepada 19.


Artikel Lain