suria

Fitnah PM: Mahkamah Sesyen Ipoh Tolak Bantahan Awal Nizar

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menolak bantahan awal bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kes fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tiga tahun lepas.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim dan Fadhli Ab Wahab.

Dalam penghakimannya, Ikmal Hishan memutuskan bahawa dalam kes fitnah, pihak pendakwaan tidak perlu memanggil 'aggrieved person' (orang yang terkilan) untuk tampil memberi keterangan.

"Saya juga ada membuat kajian berdasarkan satu keputusan kes yang diputuskan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 15 Jan 2015 berkaitan penghinaan terhadap Almarhum Sultan Azlan Shah. Sultan Azlan juga tidak dipanggil dalam kes tersebut.

"Namun Mahkamah Rayuan masih mengekalkan sabitan terhadap pesalah itu  ke atas kes penghinaan Sultan Perak. Jadi tidak perlu dalam semua situasi kes 'aggrieved person' dipanggil," jelas beliau.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden telah mengemukakan bantahan awal dan memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Besar Perak itu atas alasan perdana menteri tidak menunjukkan minat dalam kes itu berikutan kegagalan beliau hadir ke prosiding semalam.

Namun, Fadhli dalam hujahnya berkata beliau memohon mahkamah untuk menolak permohonan Mohammad Nizar atas beberapa perkara.

"Antaranya dalam mana-mana kes pendakwaan adalah menjadi budi bicara penuh pendakwa raya dalam memilih saksi-saksi yang akan dipanggil untuk membuktikan pertuduhan. Dalam situasi ini, sama ada pendakwa raya memanggil Datuk Seri Najib atau tidak adalah atas pihak kami," katanya.

Kemudian pada peringkat ini, pihak pendakwa raya menghujahkan bahawa mahkamah tiada kuasa untuk melepaskan tanpa membebaskan tanpa mendengar keterangan saksi secara menyeluruh.


"Kuasa untuk melepaskan tanpa membebaskan hanya jika mahkamah dapati pertuduhan tersebut adalah tidak berasas. Adalah terlalu awal atau pramatang untuk dikatakan bahawa dengan tidak memanggil Datuk Seri Najib, pertuduhan terhadap Datuk Seri Nizar tidak berjaya dibuktikan prima facie," katanya.

Mohammad Nizar, 58, yang beralamat di Sungai Rokam di sini didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012. 

Mohammad Nizar, yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Mohammad Nizar daripada pertuduhan memfitnah Najib selepas membenarkan bantahan awal pihak  pembelaan yang diketuai Mohd Yusof berhubung isu pengadu dalam kes itu.

Hakim Rihaida Rafie memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes itu cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa sebenarnya yang membuat aduan.

Bagaimanapun, anggota Dewan Undangan Negeri Changkat Jering itu didakwa semula atas pertuduhan sama pada 30 Jan.

Selepas Ikmal Hishan membuat keputusan itu, beliau memerintahkan perbicaraan kes fitnah Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap perdana menteri diteruskan hari ini yang membabitkan dua saksi iaitu DSP Mohd Uzir Ismail, yang kini berkhidmat di Unit Kajian Kes (siasatan/perundangan/kajian kes) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman serta Sarjan Muhamad Lok Abdullah, berkhidmat di bahagian foto, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Uzir, yang ketika itu merupakan Ketua Polis Balai Simpang Pulai berkata beliau mendapat maklumat awal berhubung satu ceramah akan diadakan di padang permainan atau padang bola, Taman Desa Pakatan, Simpang Pulai.

"Saya bersama sepasukan anggota polis Simpang Pulai telah berada di kawasan berkenaan. Ceramah politik itu dihadiri Sasterawan Negara (Datuk) A.Samad Said, Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat Radzi Zainon dan Datuk Seri Nizar," katanya.

Saksi kedua, Muhamad Lok yang sudah berkhidmat selama 25 tahun berkata beliau telah diarahkan untuk mengambil gambar penceramah-penceramah politik, situasi persekitaran dan kehadiran orang ramai.

"Saya telah mengambil 45 keping gambar menggunakan kamera jenis Canon EOS 30D pada malam itu antara pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam. Saya juga mengesahkan kesemua gambar yang ditunjukkan kepada saya adalah gambar yang diambil oleh saya," katanya.

Perbicaraan bersambung esok dan mahkamah dijangka menyaksikan sebuah klip video.

Artikel Lain