suria

Projek Langat 2 Dijangka Siap 2019

KUALA LUMPUR: Kelewatan kerajaan Selangor menguatkuasakan penjanjian penstrukturan air Selangor menyebabkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (Projek LRAL2) kemungkinan besar tidak mampu disiapkan pada 2017 seperti yang dirancang. 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata projek itu dijangka hanya dapat disiapkan sepenuhnya pada 2019 sekiranya kerajaan negeri itu bersetuju untuk membenarkan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan semua kelulusan dan permit bagi pembinaan loji itu dalam masa terdekat.

"Kerana pada masa ini kerajaan negeri Selangor mengarahkan agensi dan PBT menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga penstrukturan semula dimuktamadkan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu. 

Dr Maximus berkata kerajaan Persekutuan telah pun mengambil tindakan yang diperlukan untuk menguatkuasakan perjanjian penstrukturan semula industri bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Bagaimanapun, katanya, penstrukturan semula industri air masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya berikutan kegagalan kerajaan Selangor memenuhi syarat dalam perjanjian utama yang ditandatangani antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. 

Malah kata Maximus, kerajaan negeri Selangor juga telah menangguhkan pewartaan baki sebanyak 23 lot pengambilan tanah yang dimohon oleh kerajaan Persekutuan.

Dr Maximus seterusnya menegaskan bahawa perbincangan dengan Menteri Besar Selangor masih terus berjalan agar perkara-perkara dalam perjanjian terdahulu dapat dipenuhi oleh kerajaan negeri dan seterusnya menyempurnakan perjanjian berkenaan. 

"Kerajaan pusat tidak akan berputus asa...dalam masa terdekat kita akan adakan pertemuan dengan pegawai-pegawai terlibat untuk memberi gambaran sebenar projek berkenaan perlu dipercepatkan demi kepentingan penduduk di negeri Selangor.

"Kita belum putus asa untuk mencari kemenangan untuk rakyat," katanya. 

Mac lalu Menteri Besar Selangor, Azmin Ali telah membatalkan perjanjian penstrukturan air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan yang didakwanya telah melanggar perjanjian. 

Tindakan itu diambil walaupun kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang telah berlanjutan sejak 2008, pada Februari 2014.

Projek Langat 2

Artikel Lain