suria

Tunjuk Kemaluan Kepada Pelajar Sekolah, Pengurus Restoran Dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus restoran dipenjara empatbulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada tiga pelajar sekolah, bulan lepas.  

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Wang Chiu Seng, 52, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan. 

Bagaimanapun Mohd Faizal memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak daripada tarikh dia ditangkap iaitu 19 Mei lalu.

Wang dituduh menunjukkan kemaluannya di hadapan dua pelajar berusia 14 tahun, di perhentian bas berhadapan sebuah sekolah, di Dang Wangi di sini, pada 3.35 petang, 7 Mei lepas.

Tertuduh juga didakwa menunjukkan kemaluannya kepada pelajar perempuan berusia 17 tahun, di tempat sama, pukul 2.15 petang, 12 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan mabuk dan mengalami tekanan perasaan akibat beban hutang dan baru bercerai dengan isterinya, selain merupakan penanggung tunggal keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah bagaimanapun memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh kerana kejadian itu telah mengakibatkan trauma terhadap ketiga-tiga pelajar tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain