suria

Najib Tidak Dibayar Atas Peranan Sebagai Pengerusi 1MDB

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dibayar diatas peranannya sebagai pengerusi lembaga penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib, atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan, menjelaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang bayaran bagi kedudukannya dalam syarikat pelaburan strategik milik penuh kerajaan itu.

"Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tidak menerima apa-apa gaji tahunan atau bayaran dalam bentuk ganjaran atau faedah," katanya dalam jawapan bertulis kepada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) yang disiarkan pada Selasa.

Najib berkata mesyuarat lembaga penasihat diadakan sebanyak dua kali tetapi tidak menjelaskan sama ada ia secara tahunan atau sepanjang tempoh lima tahun itu.

Secara keseluruhan, terdapat 72 mesyuarat lembaga penasihat 1MDB dalam tempoh lima tahun lalu.

Kira-kira 11 mesyuarat diadakan pada 2009, 16 pada 2010, 13 (2011), 10 (2012), lapan (2013) dan 14 (2014).

Menurut Najib, butiran mesyuarat tersebut disediakan berdasarkan maklumat yang dikemukakan pihak pengurusan 1MDB kepada Kementerian Kewangan.

Dr Ko meminta Najib untuk mendedahkan mesyuarat lembaga penasihat yang diadakan 1MDB setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu.

Beliau turut menuntut butiran mengenai bilangan mesyuarat yang dihadiri Najib sebagai pengerusi Lembaga Penasihat setiap tahun dan ganjaran tahunan yang diterima di atas peranannya sebagai pengerusi.

Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sedang menjalankan prosiding siasatan berhubung isu yang dihadapi 1MDB yang menanggung hutang sehingga RM42 bilion.

PAC memulakan siasatan terhadap isu yang dihadapi 1MDB pada 19 Mei lalu.

Pada Rabu, Bank Negara Malaysia (BNM) memulakan siasatan formal ke atas 1MDB  bagi meneliti sama ada berlaku pelanggaran peraturan dan perundangan Bank Pusat. 

Siasatan tersebut akan melibatkan arahan perundangan bagi mendapatkan maklumat daripada entiti.

BNM juga akan mengambil kenyataan daripada individu yang terlibat dalam proses tadbir urus dan mendapatkan maklumat daripada pihak domestik dan luar negara yang berkaitan. 
Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain