suria

Segala Usaha Dilakukan Untuk Selamatkan Mangsa Terlibat Gempa - Najib

KUALA LUMPUR: Segala usaha sedang dilakukan untuk menyelamatkan mangsa terlibat dalam kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perdana menteri berkata kejadian itu sesuatu yang amat mengejutkan seluruh rakyat selain turut berasa sedih.

"Kini rakyat berasa terkejut dan sedih di atas kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah. Segala usaha sedang dilakukan untuk menyelamat mangsa-mangsa tragedi tersebut," katanya semasa menyampaikan sembah tahniah kepada Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini Sabtu.

Setakat ini 11 disahkan terkorban dalam kejadian itu manakala lapan individu masih belum dapat dikesan.

Gegaran akibat gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Ranau semalam turut dirasai di kawasan seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Dalam ucapan itu, perdana nenteri turut memaklumkan lima petunjuk utama pencapaian laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sepanjang lima tahun lalu bermula 2010. 

Antara pencapaian itu, pendapatan per kapita rakyat meningkat daripada US$7,059 pada 2009, kepada US$10,426 pada 2014 selain hampir 170,000 golongan miskin berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Segala pencapaian yang termaktub dalam laporan berkenaan turut mendapat pengiktirafan pelbagai pihak di peringkat nasional mahupun antarabangsa dan disahkan juruaudit bertauliah.

"Horizon GTP 3.0 dan selanjutnya, akan membawa Malaysia masuk ke gelanggang negara maju dengan kehendak dan izin Allah jua menjelang 2020," katanya.

Menjelaskan mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 di Langkawi, April lepas, yang menyaksikan Malaysia sebagai Pengerusi bagi tahun 2015, pimpinan ASEAN bersepakat dalam dua perkara iaitu penubuhan komuniti ekonomi ASEAN dan halatuju ASEAN bagi tempoh 10 tahun akan datang.

"Itu merupakan satu lagi detik penting kepada lebih 600 juta penduduk di Asia Tenggara," kata perdana menteri.

Mengenai Rancangan Malaysia Ke-11, Najib berkata kejayaannya hanya boleh dicapai dengan sokongan dan gandingan usaha semua lapisan rakyat. 

"Apa yang mustahak, kita perlu memupuk agar wujudnya kesefahaman nasional, yang menjadi teras kejayaan bukan sahaja menuju gerbang negara maju, bahkan dengan izin... beyond 2020 atau pasca 2020," katanya. -- BERNAMA

PM, Najib

Artikel Lain