suria

Peranan Kojadi Agih RM50 Juta Mampu Elak 'Ah Long'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Koperasi Jayadiri Malaysia Sdn Bhd (KOJADI) Datuk Ng Peng Hay (dua, kanan) sempena Pelancaran Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia (Same) Jabatan Perdana Menteri dan Skim Pembiayaan Usahawan (PKS) Kaum Cina, Jumaat. Turut kelihatan (dari kiri) Menteri Pengangkutan merangkap Penaung KOJADI Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif SAME Neil Foo.

KUALA LUMPUR: Pelantikan Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) yang berperanan mengagihkan dana RM50 juta kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana kaum Cina mampu mengurangkan peranan 'ah long'.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim pinjaman tersebut juga sebagai usaha kerajaan menghargai hubungan MCA sebagai rakan lama kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya harap dengan skim baharu ini, ia mampu mengurangkan fungsi ah long di negara ini. Saya tidak mahu 'ah long' terus mengaut keuntungan tetapi berharap skim ini akan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia (Same) dan Skim Pinjaman Usahawan Perusahawan Kecil Sederhana (PKS) Kaum Cina di Galaxy Banquet Hall, Jalan Sentul di sini, Jumaat.

Jelas beliau, Kojadi merupakan satu badan yang sesuai untuk mengagihkan skim tersebut kepada usahawan PKS kerana mempunyai rekod pencapaian cemerlang.

"Kojadi berjaya membuktikan mereka badan yang sesuai untuk agihkan dana ini, selain diisytiharkan dengan taraf lima bintang oleh Surunhanjaya Koperasi Malaysia," katanya.

Menurut Najib, skim pinjaman itu berupaya membantu melahirkan usahawan PKS yang berjaya dalam memacu negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Saya yakin kita mesti dengar denyut nadi rakyat. Kita juga mesti berlaku adil dalam negara. Saya alu-alukan peranan MCA kerana program pembiayaan ini lahir atas kehendak dan permohonan parti komponen ini.

"Bagi mencapai segala usaha itu, ikatan jambatan antara kerajaan dan rakyat penting supaya rakyat percaya dan menyokong segala dasar kerajaan," katanya.



Kojadi, BN, ah long, MCA

Artikel Sebelum

Artikel Lain