suria

"Terbaharu, Kempen Lenyapkan Legasi Saya" - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa adanya kempen untuk melenyapkan legasinya dan rancangan bagi memburukkan dirinya itu menggunakan sejumlah peruntukan besar.

Bekas perdana menteri itu berkata, pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diketengahkan sebagai pemimpin yang masih mendapat sokongan rakyat.

Beliau berkata, kempen tersebut juga dijalankan untuk menutup salah laku dan penyelewengan yang didakwa berlaku menerusi 1MDB.

Beliau membuat dakwaan ini selepas menyedari 'nasihat' seorang teman baiknya supaya berhenti menyerang Perdana Menteri atau beliau berdepan risiko kehilangan legasi.

Dr Mahathir berkata, sebelum ini rakannya itu sering bertemu dengannya  bagi membincangkan isu-isu semasa termasuk menyatakan kebimbangan mengenai dasar dan prestasi kerajaan Najib, tetapi baru-baru ini beliau dinasihatkan supaya tidak lagi mengkritik Perdana Menteri.

"Kini kita lihat kempen baharu dan lebih agresif untuk memburuk-burukkan saya dan menunjukkan berapa banyak sokongan yang diterima PM oleh rakyat.


"Jelas sekali jumlah wang yang besar dibelanjakan untuk kempen ini. Kawan saya kini di Pejabat Perdana Menteri dan sedang berusaha keras untuk menutup salah laku 1MDB. Muka depan akhbar arus perdana kini menjelaskan bagaimana dana yang dipinjam telah dibelanjakan. Mereka memperkemaskan tentang hutang RM42 bilion dan mengabaikan kritikan sebelum ini," katanya di blognya chedet.cc bertajuk 'Legasi', Jumaat.

Menjawab desakan daripada rakannya yang dianggap prihatin, Dr Mahathir berkata, beliau memberitahunya bahawa apa yang difikirkan orang lain mengenai legasinya atau apa sahaja tidak penting.

"Saya bimbang dengan apa yang berlaku di negara ini. Reputasi baik kita sedang terhakis," katanya.


Mengulas lanjut mengenai 1MDB beliau berkata, Najib telah dinasihatkan untuk menjawab persoalan yang timbul dan memberi penjelasan.

Bagaimanapun katanya, perdana menteri hilang peluang untuk berbuat demikian apabila beliau tidak muncul di forum NothingtoHide pada Jumaat.

"Tetapi mungkin benar-benar tidak ada penjelasan tentang kehilangan wang yang sepatutnya dibawa balik dari Kepulauan Cayman, AS$6 bilion. 


"Tiada penjelasan boleh dibuat berhubung penafian oleh Bank Switzerland bahawa ia menerima wang dari 1MDB. 

"Tiada penjelasan mengenai dakwaan Arul yang dia melihat wang tunai itu dan PM menjelaskan bahawa tidak ada wang tunai. Sekarang tunai telah menjadi unit. Unit apa?," soal beliau.

Beliau berkata, penjelasan juga tidak diberi berhubung ketidakupayaan membayar faedah sebanyak RM2 bilion sehinggalah Ananda menyumbang atau memberi pinjam RM2 bilion atau 'apa sahaja'.

"Dan tidak ada apa-apa penjelasan mengapa 1MDB memerlukan pelaburan sebanyak AS $1 bilion oleh IPIC untuk membayar hutang kepada Deutsche Bank apabila pelaburan RM42 bilion telah dibuat. Apakah tiada pulangan atas pelaburan? Dan banyak soalan lain yang masih tidak terjawab," katanya.


Kepada bekas rakannya itu, Dr Mahathir merasakan beliau perlu melakukan yang lebih baik untuk memburukkan dirinya jika mahu mendapat gelaran dan sebagainya.

Artikel Berikut

Artikel Lain