suria

Henti Serang DAP, PKR - Perwakilan PAS

Faiz Fadzil

KUALA SELANGOR: Pemimpin dan ahli PAS digesa supaya menghentikan 'serangan' terhadap sekutu parti itu bagi menjaga hubungan baik dalam Pakatan Rakyat.

Perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Faiz Fadzil berkata, PAS sebagai parti yang mendukung perjuangan Islam perlu menunjukkan sikap  baik dalam menjalinkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik.

"Saya memohon agar tiada lagi kenyataan daripada mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang menyerang rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat.

"Kita perlu tunjukkan jiwa yang besar. Saya percaya kita mampu bersama Pakatan Rakyat," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini, Jumaat.

Selain itu, Faiz yang juga anak kepada bekas Presiden PAS, Datuk Dr Fadzil Noor berkata, konflik yang berlaku dalam pakatan pembangkang membabitkan ketiga-tiga parti berpunca daripada kelemahan pengurusan masalah.

"Kita melihat kelemahan pengurusan antara ketiga-tiga parti. Justeru saya memohon isu yang berlaku dapat diselesaikan  kepimpinan baharu secara efisyen, muafakat agar semangat Pakatan dapat dijaga dan diurus dengan baik, katanya.

Ketika menyentuh mengenai isu keperluan menjaga hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kedengaran perwakilan PAS menyorak laungan 'PasMa'.

"Sebagai parti dalam Pakatan Rakyat, kita juga kena jaga hubungan baik dengan NGO. Mereka ada fungsi tertentu," katanya.

Faiz sebelum ini sering dikaitkan dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang diasaskan bekas pemimpin dan ahli PAS.



Faiz Fadzil, PAS, Pakatan Rakyat

Artikel Lain