suria

DBP Sasar 13 Juta Rakyat China Pelajari Bahasa Melayu Menerusi Aplikasi MOOCs

GEORGE TOWN: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyasarkan sejumlah 13 juta rakyat China akan mempelajari Bahasa Melayu menerusi aplikasi 'Massive Open Online Courses' (MOOCs) atau pembelajaran dalam talian.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Datuk Seri Dr. Md Salleh Yaapar berkata sasaran itu sejajar dengan Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani bersama Open University Malaysia (OUM) dua minggu lepas.

Katanya, MoA tersebut bertujuan menghalalkan pembelajaran bahasa Melayu ke negara China melalui penggunaan aplikasi MOOCs.

"Maka kita menyasarkan seramai 13 juta rakyat China akan mempelajari bahasa kebangsaan kita dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu di TH Hotel, Bayan Lepas dekat sini, Sabtu.

Seminar itu dirasmikan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Omar Osman.Mengulas lanjut, Md Salleh berkata pada masa ini terdapat enam universiti di China yang telah memulakan pengajian bahasa Melayu dan ia merupakan permulaan yang baik dalam menggunakan kemudahan teknologi sebagai medan untuk menuntut ilmu.

Sementara itu, Omar berkata, beliau berharap pihak kementerian khususnya Kementerian Pendidikan menjadikan kaedah pembelajaran menerusi MOOCs ini lebih meluas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dalam menimba ilmu melalui kemudahan teknologi itu.

Menurutnya ia bertujuan untuk memperkasakan lagi bahasa Melayu di mata dunia.

"Kita dapati pembelajaran sepanjang hayat atas talian lebih mudah sekarang ini yang kebiasaannya diakses dalam bahasa Inggeris dan kita harapkan ia diperkasakan kepada bahasa Melayu dalam aplikasi tersebut," katanya.

Omar berkata ia mudah dilakukan kerana tenaga pengajar seperti pensyarah yang terdiri dari pelbagai kaum di negara ini sememangnya pakar dalam menggunakan bahasa Melayu dan mereka mampu menggunakan teknologi sedia ada (aplikasi MOOCs) untuk dialih kepada bahasa Melayu.

Selain itu, Omar berkata USM juga akan terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dengan melakukan pelbagai usaha termasuk menerbitkan buku-buku dalam bahasa itu dalam bidang ilmu sains, perubatan dan kejuruteraan.

MOOCs diperkenalkan pada 2012 dan kini banyak universiti di seluruh dunia seperti Harvard, Yale dan Purdue memperkenalkan kursus lengkap mereka dalam bentuk MOOCs.

Seminar yang berlangsung dua hari bermula hari ini itu menghimpunkan 110 peserta termasuk guru dan pensyarah dan sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan dalam seminar berkenaan.

Ia bertujuan membantu memantapkan kompetensi guru bahasa Melayu dengan memberi fokus kepada kualiti guru bahasa Melayu dalam aspek pedagogi, kecekapan berbahasa dan profesionalisme.-- Bernama



DBP, MOOCs

Artikel Lain