suria

PBB: Zahid Hamidi Nyatakan Pendirian Malaysia Perangi Pengganas

Ahmad Zahid Hamidi

PETALING JAYA: Dua undang-undang yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini menunjukkan Malaysia serius memerangi keganasan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Di Luar Negara menyasarkan untuk menentang penularan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan elemen keganasan lain.

"Walaupun POTA adalah undang-undang pencegahan, tetapi klausa pemulihan dan keradikalan memberi peluang kepada individu untuk kembali kepada masyarakat.

"Pendekatan sama digunakan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dimansuhkan," katanya pada taklimat terbuka pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2178, Sabtu.

Program itu dipengerusikan Menteri Luar Lithuania, Linas Linkevicius. Buat pertama kali sesi Majlis Keselamatan UN dibuka kepada pihak keselamatan dan Kementerian Dalam Negeri.

Ahmad Zahid berkata, pengenalan undang-undang baharu itu juga seiring dengan Resolusi 2178 yang diluluskan 24 September tahun lalu.

Beliau berkata, 107 individu termasuk 16 warga asing ditahan sejak Februari 2013 kerana pembabitan dengan kegiatan IS.

"Keseluruhannya 64 rakyat Malaysia ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas dan 11 daripadanya terkorban," katanya.

Katanya lagi, Malaysia merancang untuk melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) untuk memperketatkan pemeriksaan ke atas warga asing.

"Ia termasuk pemeriksaan komprehensif Jabatan Imigresen," katanya.

PBB, Ahmad Zahid Hamidi, IS

Artikel Lain