suria

11 Jun Dengar Permohonan Peguam Tarik Diri Wakili Cif Insp Azilah

SHAH ALAM: Permohonan peguam Datuk Hazman Ahmad untuk menarik diri daripada mewakili bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Insp Azilah Hadri dalam kes saman difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematian model Mongolia itu akan didengar pada 11 Jun.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Suraya Othman menetapkan tarikh itu di dalam kamar semasa permohonan itu dikemukakan di hadapannya bagi pengurusan kes pada Jumaat.

Sementara itu, peguam Ram Karpal Singh yang mewakili para plaintif memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan 7 Julai untuk mendengar permohonannya untuk meminda writ saman dan pernyataan tuntutan.

"Permohonan untuk meminda writ saman dan pernyataan tuntutan adalah untuk mengimport atau membawa masuk semua dapatan jenayah bagi kes ini," katanya.

Beliau berkata mahkamah menasihatkannya untuk memfailkan permohonan interim bagi penangguhan pada 11 Jun untuk menyerahkan permohonan pindaan itu kepada seorang lagi bekas anggota UTK Koperal Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia.

"Oleh kerana Sirul berada di Australia, kami perlu mendapatkan kebenaran untuk menyerahkan permohonan pindaan itu kepadanya," kata peguam itu.

Pada 4 Jun 2007, bapa dan ibu Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia, menuntut pampasan RM100 juta.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006.

Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.

Pada 23 Ogos, 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah, serta menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Dalam kenyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka mendakwa Altantuya telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar manakala cebisan mayatnya ditemukan di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 Nov 2006.

Keluarga Altantuya mendakwa akibat daripada perbuatan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak, mereka mengalami kehilangan dan kerugian terutama kedua-dua anak lelaki Altantuya yang kehilangan kasih sayang ibu serta satu-satunya pencari nafkah untuk mereka.

Mongolia, Saman, Bunuh

Artikel Lain