suria

Dua Pasang Kekasih Rompak Rumah, Curi Kereta

SHAH ALAM: Dua pasangan menjadikan waktu malam sebagai kelebihan bagi mereka untuk memecah masuk rumah dan merompak barangan berharga, malah turut melarikan kenderaan semasa mangsa sedang nyenyak tidur.

Dalam tempoh masa tiga bulan, kesemua suspek berjaya memecah masuk lebih enam buah rumah disamping merompak barangan berharga serta wang tunai sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan mangsa.

Dalam kes terbaharu, pada 30 April lalu pasangan kekasih penyangak itu memecah masuk rumah di USJ 9 dan melarikan barangan berharga serta sebuah kereta mewah Volkswagen Golf GTi.

Keluarga mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas mereka bangun pada waktu pagi pabila menyaksikan pagar rumah telah diumpil dan kehilangan kereta.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Assisten Komisioner Datuk Mohd Adnan Abdullah, sebuah unit khas telah ditubuhkan untuk menjejaki mereka.

"Kami membuat serbuan di sebuah rumah di Bandar Kinrara sekitar jam 1 pagi pada 26 Mei lalu, serta berjaya menahan dua lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 30 dan 36 tahun.

"Salah seorang daripada lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah iaitu memecah masuk rumah dan berkaitan dadah," katanya sambil menambah keempat-empat suspek itu sedang ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Menurutnya lagi, berdasarkan penyiasatan yang dijalankan, kesemua suspek meletakkan kereta curi di sekitar kawasan kejiranan di Bandar Kinrara.

"Enam buah kereta berjaya dirampas dan kesemuanya dianggarkan berjumlah RM400,000. Dua kereta dicuri di Brickfields, dua di Petaling Jaya, sebuah di USJ dan sebuah lagi di Bukit Sentosa," katanya, sambil menambah bahawa dia percaya kumpulan terbabit turut terlibat dalam kecurian kereta yang dijumpai di Machang, Kelantan baru-baru ini.

Selain itu, Mohd Adnan berkata bahawa kesemua suspek terbabit turut terlibat dalam kes pecah rumah dan kecurian kereta sekitar Lembah Klang.

Subang Jaya

Artikel Sebelum

Artikel Lain