suria

Isu Rohingya: Akhbar Thailand Persenda Malaysia

Imej kartun yang dikongsi di laman Facebook.

PETALING JAYA: Penemuan tapak perkuburan besar-besaran di Wang Kelian, Perlis baru-baru ini menjadi 'mainan' media negara jiran berhubung sikap Malaysia dalam menangani isu pelarian Rohingya dan Bangladesh.

Menerusi lukisan kartun yang disiarkan sebuah akhbar di Bangkok, Thailand, pelukis tersebut mendakwa 'Malaysia benar-benar memalukan' susulan penemuan mengejutkan itu.

Imej kartun yang disiarkan akhbar The Nation dikongsi oleh bekas wartawan AFP,  Parameswaran Ponnudurai di laman Facebook.

Kartun berunsur provokasi itu memperolok-olokan kempen pelancongan negara dengan meniru logo Year of Festival 2015.

Kenyataan 'Don't visit Malaysia 2015 if you are a Rohingya' dan 'Malaysia truly embarrassed' digunakan pelukis berkenaan bagi menggambarkan situasi yang berlaku di utara tanah air.

Turut digambarkan dalam lukisan berkenaan ialah imej seorang anggota polis yang kelihatan berpeluh dan terkejut dengan penemuan beberapa tengkorak manusia dalam sebuah lubang.

Berada di samping anggota polis berkenaan ialah wanita berpakaian tradisonal India, Melayu dan Cina bagi menggambarkan kumpulan etnik terbesar Malaysia.

Pelukis juga cuba menggambarkan bahawa masyarakat dunia kecewa dengan penemuan kubur dan kem pelarian yang dipercayai milik masyarakat Rohingya dan Bangladesh itu.

Di satu sudut lain, kelihatan karikatur seorang lelaki mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kata-kata: "Obviously this cartoon is eligible for sedition charges!" (Jelas kartun ini layak untuk didakwa di bawah Akta Hasutan).

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur dan 28 kem transit yang ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Menurut Khalid penemuan kubur itu termasuk satu kawasan perkuburan yang mayatnya sudah reput dan hanya tinggal kulit dan tulang sahaja, dipercayai ditinggalkan tidak sampai dua minggu.

Artikel Lain