suria

Ratusan Kedai Ubat Jual Produk Diperbuat Daripada Spesies Beruang Terancam

KUALA LUMPUR: Kira-kira separuh daripada lebih 300 kedai ubat tradisional di Malaysia yang dikaji pada tahun 2012 didapati menjual item haram yang dibuat daripada spesies beruang terancam.

Kumpulan pemantauan hidupan liar, Traffic, mendapati sejumlah 175 daripada 365 kedai yang dikaji di sini menjual ubat-ubatan yang diperbuat daripada hempedu atau pundi hempedu beruang.

"Kadar ini adalah paling tinggi di Semenanjung Malaysia, di mana 51 peratus (148 kedai) daripada kedai yang diperiksa didapati menjual produk beruang," menurut laporan itu yang dinamakan 'Hard Bear'.

Produk yang dijual di kedai-kedai ini didapati dalam pelbagai bentuk termasuklah pundi hempedu beruang, pil hempedu beruang, ekstrak hempedu dan banyak lagi.

Sebilangan daripadanya mungkin telah diperoleh daripada beruang hitam Asia yang didapati di seluruh Asia Timur dan beruang matahari yang ditemui di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Pundi hempedu beruang. -foto ihsan TRAFFIC Southeast Asia

Harga yang dianggarkan adalah di antara RM0.40 untuk sebiji pil ke RM3,360 untuk pundi hempedu dengan berat keseluruhan 38 gram.

Walaupun kebanyakan barangan ini dikatakan telah diimport, sebahagian pundi hempedu dipercayai diperolehi daripada Malaysia.



"Hampir 60 peratus daripada semua pundi hempedu beruang yang diperhatikan untuk jualan runcit didakwa diperolehi daripada beruang tempatan," kata laporan itu.

Sesetengah pemilik kedai mengakui bahawa sumber utama pundi hempedu beruang diperolehi daripada Orang Asli termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Pemburu haram, kata kumpulan itu, mungkin juga telah terlibat dalam pembunuhan beruang di sini, walau bagaimanapun Traffic tidak mempunyai jumlah yang telah diburu.

Tanpa diketahui berapa ekor beruang yang dibunuh setiap tahun untuk mendapat organ-organnya, namun ia boleh bermula dengan ratusan ke ribuan ekor.

Laporan itu menambah, lebih dari 13,000 beruang mungkin telah dikurung di ladang beruang di seluruh China, Laos, Myanmar, Korea Selatan dan Vietnam.

Menurut undang-undang Malaysia, beruang matahari adalah spesies yang benar-benar dilindungi di Semenanjung dan Sabah. Di Sarawak, status perlindungannya adalah lebih rendah.

Artikel Lain