suria

Kerajaan Negeri Diminta Campur Tangan Isu Jual Arak Di Kedai Ubat

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor perlu campur tangan dalam ketetapan baru-baru ini yang menghalang penjualan minuman keras di kedai-kedai ubat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong berkata larangan secara menyeluruh itu adalah tidak betul dan lokasi di mana larangan itu dikenakan perlu dipertimbangkan.

"Malaysia terdiri daripada masyarakat terbuka dan sepatutnya ada tolak ansur dalam hal ini.

"Jangan terlalu ekstrem, dan saya rasa kerajaan negeri perlu campur tangan dalam isu ini," katanya di Pusat Konvensyen Setia City di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai keputusan bahagian perlesenan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang telah menghalang penjualan minuman keras di kedai-kedai ubat Cina.

Dalam langkah yang memberi kesan kepada dewan perubatan tradisional Cina di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, majlis itu juga memberi amaran bahawa mereka yang tidak mematuhi peraturan baharu itu boleh dikenakan tindakan lesen dibatalkan.

Langkah itu menimbulkan bantahan keras daripada kumpulan dewan perubatan yang menuntut penjelasan.

Mah berkata tidak perlu untuk mencipta peraturan baharu yang menyebabkan masalah kepada orang ramai dan perniagaan.

Mengenai 1MDB, Mah berkata Kabinet telah memutuskan bahawa Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah akan menjadi jurucakap mengenai isu ini dan dijangka mengumumkan butiran mengenai penyusunan semula syarikat itu tidak lama lagi.

Beliau juga tidak bersetuju dengan saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Mah berkata, semua pemimpin dari kedua-dua parti pemisah politik harus dibenarkan untuk berkhidmat mengikut terma-termanya.

"Mereka telah diberi mandat.

"Biarlah mereka menamatkan penggal dan biarkan rakyat membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang jika mereka telah menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Artikel Lain