suria

Pengurusan Kes Saman Najib Terhadap Harakah 26 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis menetapkan 26 Jun untuk pengurusan kes saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam kedua-dua pihak.

Pada 20 Mac lalu Najib memfailkan saman terhadap Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Portal Harakahdaily Taufek Yahya berkaitan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Feb lalu bertajuk 'Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz? (Bhg 2)'.

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib mendakwa artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang merujuk kepadanya dengan niat jahat bahawa beliau telah menyalah guna dana milik 1MDB.

Najib mendakwa akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasinya telah terjejas dan dikecam dalam media sosial serta media massa dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan mengaibkan.

Taufek pula, dakwanya, telah gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab untuk mengesahkan kebenaran perkataan yang ditulis dan gagal mengambil langkah mendapatkan sebarang penjelasan sebelum menerbitkan perkataan itu.

Dalam saman itu, Najib menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta injunksi untuk menahan defendan atau pembantu mereka menerbitkan artikel berkenaan.

Najib, Harakah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain