suria

Polis Jamin Atasi Isu AP & Tahanan Pekerja Asing - KPN

Khalid Abu Bakar

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan untuk menyelesaikan kekeliruan berhubung isu penahanan pekerja asing ketika proses memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan bertindak susulan saranan Jabatan Imigresen supaya tidak menahan pekerja asing yang mempunyai akuan penerimaan (AP).

"Kita mengambil maklum perkara yang disyorkan Jabatan Imigresen. Kita akan mengadakan perbincangan lanjut terutama dengan bahagian penguatkuasa jabatan itu bagi melihat penyelesaian terbaik untuk mengatasi hal ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Beliau mengulas laporan mStar Online pada Isnin berhubung permintaan Jabatan Imigresen supaya pihak berkuasa terutama polis tidak menahan pekerja asing yang mempunyai AP.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi maklum balas berhubung isu sama mengesahkan AP adalah dokumen gantian yang sah sehingga pelekat PLKS yang baharu dikeluarkan kepada majikan untuk pekerja asing di negara ini.

Ditanya bilakah perbincangan itu akan diadakan, Khalid berkata, beliau akan mengarahkan pegawainya bertemu  Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen, Zahari Abdul Aziz secepat mungkin.

"Kita akan jumpa mereka untuk adakan perbincangan lanjut bagi mengatasi masalah ini," katanya yang berharap perbincangan itu dapat menyelesaikan isu berbangkit berkaitan AP.

Menerusi laporan portal berita ini beberapa pihak menyatakan kebimbangan berhubung isu penahanan pekerja asing dalam tempoh menunggu permit baharu selesai diproses, terutama majikan dan kedutaan asing.

Sejak Disember lalu sehingga April tahun ini, sebanyak 601,913 PLKS baharu dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 460,203 pas diperbaharui di kaunter imigresen dan 141,710 menerusi sistem dalam talian.

Sementara itu, Jabatan Imigresen mengadakan sesi khas dengan PDRM berhubung urusan pekerja asing di negara ini pada Jumaat.

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, pihaknya melihat keperluan mengadakan sesi tersebut berikutan penguatkuasaan terhadap pekerja asing bukan sahaja di bawah bidang kuasa jabatan itu tetapi turut melibatkan agensi-agensi lain seperti polis.

Ini kerana katanya, aspek penguatkuasaan telah dibangkitkan selepas meneliti beberapa isu yang timbul dalam proses pembaharuan PLKS secara dalam talian yang dikuatkuasakan sejak Januari lalu.

Tambah Farah Adura, sesi pertemuan itu akan memberi penerangan mengenai pelaksanaan sistem dalam talian bagi pembaharuan PLKS yang mempunyai kaitan secara langsung dengan agensi penguatkuasaan di seluruh negara.

"Salah satu cara yang kita lakukan adalah memperkenalkan penggunaan akuan penerimaan (AP) sebagai bukti pengesahan majikan telah membuat permohonan sementara menunggu pelekat PLKS yang baharu.

"Jadi, Jabatan Imigresen perlu mengadakan sesi 'engagement' dengan agensi penguatkuasaan lain terutama polis bagi mengelakkan sebarang salah faham berhubung penggunaan akuan penerimaan ini," katanya.

Khalid Abu Bakar, AP, Imigresen

Artikel Lain