suria

Najib Naik Kereta Api Laju Shinkansen Ke Sendai

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki keretapi laju Shinkansen dari Tokyo ke Sendai untuk menghadiri perjumpaan bersama-sama pelajar di sebuah universiti, Selasa.

TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasai sendiri pengalaman menaiki Shinkansen, kereta api laju terkemuka Jepun, yang memecut dengan kelajuan 320km sejam.

Diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Najib menaiki kereta api  Hayabusa 15 Shinkansen itu pada pukul 10.40 pagi (9.40 waktu Malaysia) untuk ke bandar raya Sendai kira-kira 325km dari sini.

Perjalanan itu mengambil masa 96 minit, berbanding lebih empat jam melalui jalan raya.

Turut serta ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan Duta Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris.

Terdahulu, Najib dan delegasi Malaysia diberikan taklimat mengenai perkhidmatan kereta api Shinkansen dan pembangunan di sekitar Stesen Tokyo oleh para pegawai syarikat kereta api East Japan Railway Company, yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Tetsuro Tomita.

Tetsuro memberitahu perdana menteri bahawa kereta api yang dinaikinya ke Sendai menggunakan teknologi terkini.

"Ini adalah kereta api terbaharu dengan teknologi terkini, dengan kelajuan 320km sejam...ini merupakan kelajuan biasa operasi dan selamat," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata negara ini mahu melihat teknologi Shinkansen digunakan dalam perancangan projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura.

"Saya berharap dapat melihat Shinkansen merentasi landasan di bumi Malaysia," katanya pada sidang akhbar bersama Najib selepas mesyuarat dua hala mereka di Pejabat Perdana Menteri Jepun itu.

Dalam jawapan balasnya, Najib berkata beliau percaya Jepun akan mengemukakan tawaran yang amat kompetitif bila tiba masanya nanti.

Diperkenalkan pada 1964, perkhidmatan Shinkansen kini meliputi 2,400 kilometer dan merentasi keseluruhan Jepun.

Awal bulan ini, Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong mengesahkan bahawa kedua-dua negara komited sepenuhnya memastikan kejayaan projek kereta api berkelajuan tinggi yang dijangka mengurangkan masa perjalanan kepada hanya 90 minit berbanding lebih tiga jam perjalanan menggunakan jalan raya.

Selain Jepun, beberapa negara seperti China, Perancis, Korea Selatan dan Jerman telah menunjukkan minat untuk menyertai projek itu.

Dilaporkan di sini bahawa Jepun juga sedang melobi untuk memperkenalkan Shinkansen dalam projek kereta api berkelajuan tinggi antara Bangkok dan Chiang Mai di Thailand, dan Jakarta serta Bandung di Indonesia.

Shinkansen, Rosmah Mansor, Sendai

Artikel Berikut

Artikel Lain