suria

Majikan Sengsara Pekerja Asing Ditahan, AP Tak Diiktiraf

PETALING JAYA: Isu pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) masih membimbangkan ramai pihak, terutama majikan apabila berlaku kes di mana pekerja yang menunggu permit baharu selesai diproses ditahan pihak berkuasa.

Kebiasaannya, sementara menunggu pelekat PLKS baharu, pihak majikan akan diberi akuan penerimaan (AP) oleh penyedia perkhidmatan MyEG sebagai bukti permohonan berkenaan telah dikemukakan.

Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih rumit apabila AP itu tidak diiktiraf pihak polis.

Bukan sahaja orang perseorangan, malahan kesulitan yang dihadapi disebabkan tindakan pihak berkuasa menyebabkan pihak kedutaan asing dan persatuan majikan tampil mengetengahkan isu mengenai pekerja asing ditahan dalam tempoh menunggu PLKS baharu.

Seorang pengurus syarikat pembinaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mazlan mendakwa situasi sedemikian dialami salah seorang pekerjanya yang ditahan dalam operasi yang dijalankan pihak polis.

Beliau berkata, pihaknya dipanggil untuk membuat semakan mengenai pekerja yang ditahan namun AP yang dikemukakan kepada pihak polis tidak diterima pakai.

“Walaupun AP dikemukakan, pekerja saya masih ditahan. Bukannya dia pekerja tak sah, cuma permitnya dalam proses untuk diperbaharui tetapi masih tak diiktiraf polis.

“Sekarang saya ada 31 lagi pekerja yang sedang tunggu untuk proses perbaharui permit mereka. Kalau masih tak dapat pelekat PLKS (permit baharu) sudah tentu mereka takut bakal menerima nasib sama,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Seorang wakil majikan di sebuah syarikat pembinaan yang hanya mahu dikenali sebagai Amizah pula mendakwa tiga pekerja warga Myanmarnya sehingga kini masih ditahan polis sejak pertengahan Februari lalu kerana didakwa mempunyai permit telah tamat tempoh.

Dakwanya, ketika itu polis tidak mengiktiraf AP tersebut menyebabkan ketiga-tiga pekerja asingnya terus berada dalam tahanan polis.

"Sengsara kami dibuatnya bila berlaku perkara seperti ini. Syarikat kami bukannya ambil pekerja asing tanpa izin. Mereka dah pernah ada permit yang sah sebelum ini, pasport pun sah lagi. Masalahnya cuma pelekat PLKS masih belum diterima.

"Kami dapat AP lepas buat permohonan pembaharuan pas secara dalam talian. Kalau polis tak nak terima AP sebagai bukti permohonan dibuat, sepatutnya percepatkanlah serahan pelekat baharu PLKS," katanya.

Amizah yang merupakan pengurus sumber manusia berkata, penahanan pekerja asing itu secara tidak langsung menjejaskan produktiviti syarikatnya kerana tenaga kerja yang mencukupi diperlukan untuk melancarkan projek-projek pembinaan.

"Menunggu pelekat baharu PLKS satu hal, pekerja asing kena tahan lagi, sekarang timbul pula masalah lain apabila operasi syarikat sedikit terjejas kerana kekurangan pekerja.

"Bukan mudah bagi majikan untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini. Bila dah dapat dengan cara yang betul, ada macam-macam masalah pula," keluhnya.

Sementara itu, menerusi kenyataan media bersama persatuan majikan dan industri, mereka merungut mengenai penahanan itu kerana ia memberi masalah kepada majikan yang terpaksa menghabiskan masa menyelesaikan urusan pekerja yang ditahan pihak berkuasa.

“Majikan sibuk mencari pekerja asing mereka yang ditahan dan terpaksa menanggung penurunan produktiviti dan operasi akibat penahanan tersebut.

“Jabatan Imigresen seharusnya memaklumkan kepada agensi penguatkuasaan supaya menerima akuan penerimaan ini sebagai bukti PLKS pekerja mereka sedang diperbaharui,” katanya.

Tambah kenyataan itu, MyEG juga perlu membuat penyesuaian dengan membolehkan setiap akuan yang dikeluarkan di atas nama syarikat turut menamakan pekerja asing secara individu bagi memudahkan urusan pengesahan.

Hal sama turut disampaikan Kauselor Buruh di  Pejabat Hal Ehwal Tenaga Kerja Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur, Tanit Loipimai.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada rakyatnya yang bekerja di negara ini ditahan kerana tiada permit atau permit tamat tempoh tetapi mempunyai bukti memperbaharuinya.

Loipimai bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan pekerja warga Thailand berhadapan dengan masalah itu dan hanya berkata ‘sejumlah pekerja rakyatnya’.

“Mereka sekurang-kurangnya mempunyai bukti memperbaharui permit menerusi akuan penerimaan, jadi mereka tidak sepatutnya ditahan,” katanya.

Loipimai berkata, beliau sudah memaklumkan permasalahan itu kepada Jabatan Imigresen berhubung nasib pekerja rakyatnya di negara ini dan diberitahu bahawa akuan itu merupakan ‘dokumen’ sementara menunggu pelekat baharu dikeluarkan.

“Pejabat Hal Ehwal Tenaga Kerja bagi Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen berhubung isu berbangkit berkaitan dengan pekerja rakyat kami di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Atase Tenaga Kerja Kedutaan Besar Republik Indonesia di ibu negara, Mustafa Kamal meminta semua pekerja rakyatnya di Malaysia supaya membawa pengenalan diri dan memastikan permit mereka telah diperbaharui majikan.

Menurut Mustafa, setakat ini belum ada lagi kes yang diterimanya mengenai pekerja yang telah memperbaharui PLKS tetapi ditahan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, saya minta supaya isu ini dapat diatasi dengan ada satu koordinasi antara Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa lain supaya pekerja tidak akan ditahan dalam tempoh menunggu PLKS yang baharu dikeluarkan,” katanya. 

Artikel Lain