suria

Kapal Korek Karam: Jenazah Mangsa Pertama Dikebumi

KLANG: Jenazah seorang daripada mangsa insiden kapal korek Ocean Line SC208 yang karam di perairan Pengerang, Johor Rabu lepas selamat dikebumikan pada Sabtu.

Jenazah Raja Mohammad Firdaus Raja Ikram, 23, dibawa ke Masjid Kampung Idaman dekat sini pada kira-kira pukul 12 tengah hari untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan pada kira-kira pukul 1.30 petang.

Abang sulungnya Raja Fuad, 30, berkata keluarganya redha dengan pemergian arwah dan berada dalam keadaan tenang.

"Ibu kami, Azizah Abdul Aziz, 52, juga lebih tenang sekarang berbanding pada hari pertama kejadian dan dapat menerima apa yang telah berlaku...dan bersyukur setelah tiga hari beliau hilang, hari ini dia kembali kepada kami," katanya kepada pemberita selepas majlis pengebumian itu.

Raja Mohammad Firdaus merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik.

Mengulas mengenai berita penemuan jenazah adiknya itu, Raja Fuad berkata beliau menerima panggilan pada kira-kira pukul lima petang Jumaat daripada pihak polis bagi tujuan pengecaman mayat.

Mayat Raja Mohamad Firdaus adalah mangsa pertama kapal karam itu yang ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 3.45 petang, Jumaat kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian.

Kapal korek berkenaan yang didaftarkan di Bolivia terbalik akibat dipukul ombak besar pada Rabu ketika sedang dalam perjalanan membawa muatan pasir dari Teluk Rumunia ke Pengerang Johor.

Setakat ini, dua mayat mangsa sudah ditemui dan usaha mencari 12 mangsa lagi yang masih hilang giat dijalankan.  

Klang, Kapal Korek

Artikel Sebelum

Artikel Lain