suria

NFCorp: Shamsubahrin Dakwa Jadi Mangsa Konspirasi

Shamsubahrin menunjukkan dokumen sebagai bukti wujudnya konspirasi untuk melindungi pihak tertentu berhubung projek ternakan lembu yang menanggung hutang RM250 juta.

KUALA LUMPUR: Bekas perunding National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau bagi melindungi pihak pengurusan syarikat yang mengendalikan projek ternakan lembu membabitkan hutang kerajaan sebanyak RM250 juta itu.

Shamsubahrin pada Isnin lalu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah terhadap lima pertuduhan menipu Pengerusi Eksekutif  NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melibatkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, pada Jumaat beliau mengadakan sidang media dan mendakwa hasratnya untuk mengambil alih projek ternakan itu tidak mendapat kerjasama Kementerian Kewangan, sebaliknya wujud konspirasi untuk melindungi pihak tertentu.

Malahan, beliau mendakwa surat balas Kementerian Kewangan adalah bukti wujudnya konspirasi itu selepas beliau mengemukakan hasrat untuk mengambilalih dan memulihkan projek berkenaan, termasuk membayar hutang yang dibuat NFCorp.

Menerusi surat itu, katanya, kementerian berkenaan meminta beliau mendapat persetujuan NFCorp dahulu sebelum berbincang dengan kementerian itu.

"Wakil kementerian hantar surat suruh saya bincang dengan NFCorp untuk ambil alih hutang-hutang syarikat itu. Saya disuruh berjumpa dengan Salleh, kenapa saya perlu jumpa dia?

"Sepatutnya saya kena berurusan dengan Kementerian Kewangan untuk bayar balik kepada kementerian, bukannya bincang dengan NFCorp, sedangkan Kementerian Kewangan yang berikan pinjaman kepada NFCorp.

"Bila dia hantar surat ini, ia menunjukkan mereka mahu melindungi keluarga Shahrizat," dakwanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Menjelaskan lebih lanjut, dakwa Shamsubahrin, sebelum itu beliau telah mengemukakan hasrat yang sama ke pejabat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan cadangan itu disambut baik.

Beliau berkata, keputusan untuk memulihkan projek itu dibuat kerana ia berpotensi dibangunkan semula dan keputusan pengambilalihan itu dibuat bersama pelabur dari dalam serta luar negara.

Dalam perkembangan lain, Shamsubahrin memaklumkan beliau telah mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang dikenakan terhadapnya.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu kerana beberapa sebab yang tidak diambil kira sewaktu perbicaraan kes itu.

“Pihak saya bersama peguam sedang meneliti semula kes tersebut untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 30 Disember 2011, Shamsubahrin didakwa terhadap lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta dan pada 18 Jun 2012 dia didakwa terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Shamsubahrin Ismail, NFCorp

Artikel Lain