suria

Lupus Al-Quran Guna Mesin Mampu Pelihara Kesuciannya - Imam Masjid Negara

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad memasukkan naskah-naskah Al-Quran ke dalam sangkar untuk proses pelupusan dengan menggunakan alatan pelupusan bergerak di perkarangan Masjid Seberang Perai Tengah, Jawi, Rabu. -fotoBERNAMA
NIBONG TEBAL: Pelupusan al-Quran menggunakan teknologi mesin merupakan cara terhormat serta mampu memelihara kesuciannya.

Demikian tegas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad selepas menyaksikan pembakaran/pelupusan al-quran lama dan lusuh dengan menggunakan mesin pembakaran khas di Masjid Jamek Nibong Tebal dekat sini Rabu.

Bercakap kepada pemberita, Syaikh Ismail berharap Masjid Negara juga dapat membeli mesin tersebut sekaligus memudahkan masyarakat Islam di sekitar Lembah Klang untuk menghapuskan al-quran selain masjid-masjid di kampung-kampung yang banyak menyimpan al-quran lama. 



Beliau menasihatkan masyarakat Islam agar menghapuskan al-quran di tempat yang sepatutnya serta menjaga kitab itu sebaik-baiknya kerana ia merupakan mukjizat yang paling besar kepada Nabi Muhammmad S.A.W. 

Sementara itu, Imam Utama Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Ustaz Mohd Zaki Abdul Halim berkata Pulau Pinang merupakan negeri kedua melupuskan Al-Quran menggunakan teknologi mesin selepas Johor.

Katanya, mesin itu yang berharga RM48,000 dibeli daripada Jabatan Agama Islam Johor. 
Mohd Zaki berkata untuk sekali pelupusan menggunakan mesin tersebut ia boleh memuatkan kira-kira 20 ke 30 kilogram naskhah al-quran.

"Kos untuk dua kilogram al-quran dilupuskan ialah RM5. Untuk lupus kita memerlukan masa dalam empat jam dan untuk lengkap menjadi debu mungkin memakan masa sehingga enam ke tujuh jam. Debu dari pembakaran itu dijadikan ketulan sebelum di buang ke laut, katanya.

Artikel Lain