suria

Pinjaman Tekun Kepada Orang Asli Bukan Suapan Politik - Tajuddin

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin diberitahu pinjaman di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) yang diluluskan kepada golongan Orang Asli bukan sebagai suapan politik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan tidak timbul soal ketidakadilan, pilih kasih atau tujuan politik dalam peruntukan Tekun kepada golongan ini, sebaliknya kadar kelulusan pinjaman yang rendah berpunca daripada sambutan dingin masyarakat itu.

"Bagi mengatasi masalah kurang sambutan di kalangan golongan Orang Asli terhadap skim pinjaman tersebut, kementerian dan agensi akan memperhebatkan lagi aktiviti penerangan bagi memberi kesedaran di kalangan masyarakat ini mengenai kewujudan peluang untuk tingkatkan ekonomi melalui bantuan Tekun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang bertanya punca hanya RM1.6 juta daripada RM8 juta peruntukan pinjaman Tekun untuk golongan Orang Asli diluluskan sejak dua tahun lepas.

Tajuddin turut menempelak Azmin yang disifatkan hanya bermain politik apabila mempertikai kelulusan pinjaman Tekun yang rendah dengan memberi contoh hanya beberapa kawasan tertentu sahaja yang tidak menggambarkan pelaksanaan pinjaman itu secara keseluruhan.

"Yang Berhormat Gombak (Azmin Ali) menyatakan hanya 48 orang dari daerah Teluk Intan, Bera dan Rompin yang menerima pinjaman tersebut dan dari kawasan lain Yang Berhormat tidak sebut," katanya.

Tajuddin turut menyangkal dakwaan Azmin bahawa Tekun bermatlamat membantu golongan tertentu, sebaliknya menyatakan skim pinjaman tersebut disasarkan kepada semua bangsa, tanpa mengira batasan politik.


Artikel Lain