suria

Pendidikan Moral, Akhlak Perlu Jadi Urusan Utama Pendidikan Negara - TPM

Muhyiddin menerima buku daripada robot pada gimik sempena perasmian Hari Guru peringkat kebangsaan di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah, Sabtu.

JITRA: Pendidikan moral dan akhlak perlu menjadi urusan utama pendidikan negara dalam usaha melahirkan insan yang amanah, berintegriti dan bertanggungjawab, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sifat jujur, amanah dan integriti sebenarnya merupakan nilai intrinsik yang menjadi tunjang dan pasak kemajuan negara.

"Hal ini boleh direalisasikan sekiranya guru-guru sentiasa menerapkan nilai-nilai murni seperti sifat amanah, jujur, telus dan budi pekerti yang mulia dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kesukanan dan kokurikulum," katanya pada majlis perasmian sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Dewan Wawasan di sini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata soal akhlak dan keperibadian yang mulia amat ditekankan bukan sahaja oleh umat Islam, tetapi oleh semua agama dan kepercayaan.

Tanpa integriti, walaupun pada segelintir individu, ia boleh mendatangkan malapetaka yang besar kepada sesuatu industri, masyarakat dan negara, kata Muhyiddin.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia katanya, pendidikan akhlak dan moral mestilah menekankan prinsip menghormati perbezaan, meraikan kepelbagaian dan memupuk hubungan baik antara pelbagai kaum dan agama.

Menurutnya, tugas mendidik murid supaya berakhlak mulia dan berdisiplin tidak hanya terletak pada bahu guru pendidikan moral, guru pendidikan Islam atau guru disiplin tetapi pada semua guru.

"Jika kita dapat menjadikan sekolah sebagai medan asuhan akhlak dan sahsiah murid yang sempurna, saya yakin hasrat kita untuk melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak mulia akan menjadi kenyataan," katanya.

Menurutnya, guru memainkan peranan penting untuk menyempurnakan akhlak murid serta membentuk insan seimbang dan berperibadi unggul.

"Dalam keghairahan mengejar kemajuan material, aspek akhlak dan nilai murni mesti diberikan perhatian yang utama oleh sistem pendidikan kita.

"Bagi saya aspek akhlak, budi pekerti, integriti, amanah dan nilai-nilai murni adalah komponen yang amat penting dalam membina negara bangsa dan mencapai kemajuan ekonomi yang lestari," katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Guru hari ini, Muhyiddin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan yang bergelar guru di mana jua mereka berada.

Katanya, biarlah ungkapan keramat 'guru' atau 'cikgu' terus kekal meniti dibibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke akhir hayat seorang guru.

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan hari ini bertemakan 'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak' turut dihadiri Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, timbalan menteri Mary Yap Kain Ching dan P.Kamalanathan serta  pegawai tinggi Kementerian Pendidikan.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.-- Bernama


Muhyiddin Yassin, Hari Guru

Artikel Lain