suria

Gerakan Tubuh Jawatankuasa Kaji Kesan GST Terhadap Rakyat

KUALA LUMPUR: Gerakan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap rakyat, kata presidennya Datuk Mah Siew Keong.

Beliau berkata jawatankuasa itu, yang diketuai setiausaha agung parti Datuk Liang Teck Meng, juga disertai lima anggota lain yang mempunyai kepakaran berhubung isu itu.

"Jawatankuasa ini akan mengumpul data mengenai GST dan kesannya terhadap rakyat dan akan mengemukakan memorandum serta kertas kerja mengenainya kepada kerajaan.

"Kerajaan sedang mendapatkan maklum balas mengenai isu GST, dan mengambil langkah untuk mengurangkan beban rakyat. Oleh itu, Gerakan berpendapat kami patut menyumbang kepada usaha kerajaan itu dan kami memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di sini, Sabtu.

Mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mah berkata beliau berharap Ketua Audit Negara dapat menyiapkan laporannya tentang perkara itu dan mengemukakannya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menjelang bulan depan supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Gerakan berharap laporan itu dapat dimuktamadkan dengan secepat mungkin supaya kita dapat melangkah ke hadapan dan meninggalkan segala spekulasi serta fakta tidak tepat (mengenai 1MDB)," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata jawatankuasa itu akan memulakan siasatannya terhadap 1MDB pada Isnin dengan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah.

Pada 26 Mei pula, PAC akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan Datuk Shahrul Ibrahim Halmi, yang menyandang jawatan itu dari Mac 2009 hingga Mac 2013.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap urusan 1MDB dan mengemukakan laporan mengenainya kepada PAC selain berjanji, sekiranya terdapat sebarang penyelewengan, tindakan akan diambil tanpa mengira siapa yang melakukannya.

Gerakan, GST

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain