suria

PM Gesa Pengamal Media Bantu Perbetulkan Persepsi Negatif, Propaganda Songsang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pengamal media untuk terus membantu kerajaan terutama dalam memperbetul perspektif dan persepsi negatif serta propaganda songsang yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri berkata mereka yang menyebarkan perspektif dan persepsi negatif itu cuba merosakkan perpaduan dan kestabilan antara kaum serta rakyat berbilang bangsa di negara ini.

"Media memainkan peranan besar dalam mencorak arus pembangunan dan kemajuan negara.

"Oleh demikian, malam semalam saya telah menghadiri majlis bagi menghargai pengamal media sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam bidang penyiaran, percetakan dan media digital yang sentiasa bertungkus-lumus memberi laporan terbaik kepada rakyat," kata beliau dalam catatan terbaharu di blognya NajibRazak.com pada Jumaat.

Dalam tulisannya itu, Najib berkata zaman atau era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu dan ia secara tidak langsung menunjukkan kerajaan kini lebih terbuka dalam menerima pandangan ke arah melancarkan proses pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata landskap media maklumat di negara ini telah mengalami perubahan amat pesat dan pantas dengan kehadiran media cetak dan media elektronik serta dilengkapi dengan kemunculan media dalam talian, media sosial dan internet sebagai medium baharu.

"Sebagai contoh, 40 tahun lalu, ketika saya mula-mula berkecimpung dalam politik, saya mempunyai masa untuk respons kepada sesuatu isu, kerana selalunya kenyataan boleh dibuat satu hari selepas sesuatu insiden.

"Kini, dalam 'kesegeraan dunia' atau dunia yang serba segera lagi pantas, masyarakat awam mahu respons jawapan segera terhadap sesuatu isu," katanya.

Semalam, Najib menghadiri Malam Media Perdana 2015 yang dianjurkan bagi menghargai peranan pengamal media.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau menggariskan lima kriteria penting yang perlu diamalkan oleh pengamal media termasuk penggerak media sosial dalam setiap laporan berita.

Antara kriteria itu ialah pengamal media perlu sentiasa bersikap profesional dan bertanggungjawab, memberi pandangan dan kritikan yang membina serta konstruktif, melaporkan sesuatu berita berdasarkan fakta tepat, mengamalkan media sihat dengan menolak unsur-unsur fitnah dan mempraktikkan etika media kewartawanan berasaskan nilai murni sejagat.

Najib Tun Razak, Media

Artikel Berikut

Artikel Lain