suria

Penggulungan DUN Pulau Pinang Panas Isu Peruntukan Permatang Pauh

GEORGE TOWN: Sesi penggulungan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas hari ini 'panas' dengan pertikaman lidah antara Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid serta Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong).

Lim berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM70 juta untuk tujuan pembangunan di kawasan Permatang Pauh.

"Kami tidak menyokong budaya peruntukan lima tahun sekali yang diamalkan oleh BN," katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri di sini, Jumaat.

Namun, Jahara (BN-Teluk Air Tawar) mempersoalkan jika apa yang dikatakan itu betul, mengapakah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Dr Norlela Ariffin perlu menbentangkan usul untuk membantu rakyat kawasan berkenaan.

"Mengapa Penanti boleh menyatakan beliau 'stress' (tertekan) kerana  usul-usul kepentingan rakyat kawasan itu ditolak," katanya.

Lim pula menjawab Jahara tidak harus 'berdrama' kerana Adun Penanti bukan 'stress' tetapi mendapat penyakit Leptospirosis yang menyebabkan beliau tidak dapat hadir persidangan dewan.

Muhamad Farid yang mencelah berkata beliau simpati dengan keadaan Adun Penanti tetapi turut mempersoalkan kenapa Adun Penanti perlu membuat usul itu jika kerajaan negeri telah memperuntukkan jumlah yang besar untuk warga kawasan tersebut.

"Bukan kami yang menuduh, Penanti sendiri yang menyatakan beliau stress dalam akaun Facebooknya selepas usulnya ditolak," katanya.

Speaker Datuk Law Choo Kiang terpaksa menenangkan keadaan dengan memberitahu dewan bahawa usul Penanti ditolak kerana masalah yang dibangkit adalah masalah yang sama.

"Penanti kemukakan empat soalan bertulis dan satu soalan lisan yang merupakan masalah yang sama dan telah dijawab. Saya menulis kepada Penanti sebab usul itu ditolak kerana isu ini telah disalah tafsir," katanya.

Norlela dalam akaun Facebooknya mendakwa dibuli kerajaan negeri apabila semua usul untuk kepentingan rakyat yang ingin dibentang dalam persidangan DUN kali ini ditolak.

Lim Guan Eng, Jahara Hamid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain