suria

Kementerian Kesihatan Cadang Kelayakan Ijazah Jururawat

KUCHING: Kementerian Kesihatan bercadang menetapkan kelayakan minimum ijazah sarjana muda bagi jururawat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata ia adalah sasaran Kementerian Kesihatan bagi jururawat mempunyai ijazah sarjana muda untuk memenuhi keperluan semasa.

"Proses ini masih dalam perancangan antara Kementerian Kesihatan dan institusi pengajian tinggi untuk memastikan jururawat memperoleh ijazah sarjana muda," katanya dalam ucaptama sempena Hari Jururawat di Institut Perguruan Batu Lintang di sini.

Beliau berkata menjelang 2020, diharapkan kebanyakan jururawat akan memiliki kelayakan ijazah sarjana muda.

Dr Zulkifli berkata pada masa ini terdapat 9,179 jururawat dalam sektor kerajaan di seluruh Sarawak.

"Sentiasa ada peningkatan bilangan jururawat di negeri ini kerana setiap tahun pengambilan antara 500 dan 600 jururawat dalam sektor kesihatan," katanya dan menambah kira-kira 50 hingga 60 jururawat bersara setiap tahun.

Dr Zulkifli menyebut setakat hari ini masih terdapat lebih 200 jawatan jururawat yang belum diisi lagi.

Mengulas mengenai situasi denggi di Sarawak, Dr Zulkifli berkata sejak April bilangan kes menurun dan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Jururawat

Artikel Lain