suria

1,158 Pati Rohingya, Bangladesh Tak Akan Dilayan Sebagai Mangsa Pemerdagangan

Sebahagian Pati yang ditahan di Langkawi dibawa ke depot tahanan sementara sebelum urusan pengusiran dilakukan secepat mungkin.

EKSKLUSIF PETALING JAYA: Seramai 1,158 warga Myanmar etnik Rohingya termasuk warga Bangladesh yang ditahan di Langkawi, Isnin lalu tidak akan dilayan sebagai mangsa pemerdagangan manusia.

Sebaliknya, mereka adalah pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini, demikian tegas Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Muhd Khair Razman Mohamed Annuar pada Rabu.

Beliau memberitahu mStar Online bahawa kesemua Pati yang diseludup keluar dari negara masing-masing ini melakukannya atas kerelaan diri mereka sendiri dan bukannya secara paksaan atau menjadi mangsa.

Muhd Khair Razman berkata, warga Bangladesh merupakan migran ekonomi yang meninggalkan negara mereka untuk mencari peluang pekerjaan di negara asing manakala warga etnik Rohingya pula lari untuk menyelamatkan diri daripada konflik di wilayah Rakhine, Myanmar selain etnik mereka tidak diiktiraf sebagai rakyat negara itu.

“Mereka pada awalnya rela diseludup keluar dengan membuat bayaran di awal perjalanan tetapi mereka mungkin kemudiannya diminta bayaran tambahan oleh tekong yang membawa mereka di tengah laut.

“Oleh itu, 1,158 warga Rohingya dan Bangladesh merupakan Pati yang akan dihantar ke depot tahanan sebelum urusan pengusiran mereka ke negara asal dilakukan,” katanya ketika dihubungi, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tanggapan banyak pihak mengenai status Pati berkenaan yang dilabelkan sebagai mangsa pemerdagangan manusia.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan Pati ini semua berkemungkinan boleh menjadi mangsa pemerdagangan orang sekiranya ‘terlepas masuk’ ke negara ini yang kemudiannya akan berhadapan dengan isu eksploitasi disebabkan status imigresen mereka.

“Malangnya, 1,158 orang ini telah ditahan oleh pihak berkuasa terlebih dahulu. Kita hantar mereka ke depot tahanan dan akan melalui proses pengusiran sebagai Pati,” kata Muhd Khair Razman yang juga Setiausaha Bahagian Pejabat Strategik Nasional, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyuludupan Migran (NSO-Mapo) KDN.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim berkata, kesemua pendatang tanpa izin ini terdiri daripada 883 lelaki, 104 perempuan dan 61 kanak-kanak tiba di Langkawi pada 10 Mei lalu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 486 orang merupakan warga Mynmar manakala 672 lagi adalah warga Bangladesh.

Alwi berkata, kesemua Pati tersebut dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Kedah secara berperingkat-peringkat  mulai Selasa.

Dilaporkan, kesemua mereka dipercayai meninggalkan Bangladesh dan Myanmar melalui sindiket di negara tersebut dan berada di Thailand terlebih dahulu sebelum cuba memasuki negara ini melalui perairan Langkawi.

Sementara itu, sumber KDN memberitahu portal berita ini pada Rabu bahawa kesemua tahanan sedia ada di Depot Tahanan Imigresen Belantik di Kedah akan dipindah keluar dan ditempatkan di depot tahanan berhampiran.

Sumber itu berkata, ia bertujuan bagi memudahkan urusan untuk menempatkan kesemua 1,158 Pati Rohingya dan Bangladesh ini di dalam depot tahanan yang sama.

“Kita tahu sudah ada ramai tahanan di Depot Tahanan Belantik ketika ini dan baki kapasiti yang ada tidak cukup untuk menampung Pati dari Langkawi.

“Tetapi kita tidak boleh pindahkan Pati dari Langkawi ke dua tempat berbeza kerana masalah logistik memandangkan pemindahan dilakukan dari pulau ke tanah besar melalui jalan laut.

“Oleh itu, tahanan sedia ada di Depot Tahanan Belantik akan dipindah keluar ke depot tahanan lain berhampiran, sekali gus akan melancarkan operasi dengan menempatkan kesemua Pati dari Langkawi di tempat yang sama,” katanya.

Proses pemindahan Pati di Langkawi melibatkan Jabatan Imigresen, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pada Selasa, mStar Online melaporkan, Depot Tahanan Imigresen Belantik mempunyai kapasiti 2,000 orang dan sudah menempatkan lebih 1,000 tahanan, menyebabkan kemungkinan baki 1,158 Pati di Langkawi akan dihantar ke depot tahanan lain.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Zahari Abdul Aziz berkata,  terdapat seramai 13,321 tahanan di 12 depot tahanan imigresen seluruh negara, dan daripada jumlah itu, 4,531 merupakan etnik Rohingya dan 1,466 Bangladesh.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain