suria

1MDB: KSU Perbendaharaan Sedia Disiasat

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah komited untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau berkata PAC telah memanggil beliau dan ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah untuk memberi kenyataan mereka pada 19 Mei.

"Sudah tentu saya akan pergi dan apa jua soalan yang ditanya mereka, saya akan jawab," katanya kepada media selepas menyampaikan pembiayaan bernilai RM40 juta kepada 21 syarikat-syarikat kreatif yang diluluskan MyCreative Ventures Sdn Bhd di sini, Rabu.

Isnin lepas, pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata jawatankuasa Parlimen akan memulakan siasatan berhubung 1MDB pada 19 Mei.

Ditanya sama ada siasatan PAC itu akan membantu menjelaskan perkara berhubung 1MDB, Irwan Serigar berkata: "Biar kita lihat hasil laporan Ketua Audit Negara tentang syarikat itu dan tunggu apa yang hendak ditanya PAC...Mari kita tunggu dan lihat".

Pada 4 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB dan berkata bahawa jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian.

Pada Selasa, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam satu kenyataan berkata jabatan itu bercadang mengemukakan laporan awal pengauditan kepada PAC selewat-lewatnya akhir Jun.

Perbendaharaan, 1MDB

Artikel Lain