suria

Lima Buku Termasuk 'Perang Akhir Zaman' Topik Perbicaraan Kes Yazid

KUALA LUMPUR: Lima buku, termasuk 'Perang Akhir Zaman' antara topik perbicaraan kes Yazid Sufaat dan Muhammad Hilmi yang didakwa menggalakkan keganasan, di Mahkamah Tinggi di sini Selasa.

Pensyarah Jabatan Usuludin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Kamarudin Salleh, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah diminta menilai lima buku itu oleh seorang pegawai penyiasat yang dikenali sebagai Inspektor S. Manivanan.

Empat lagi buku yang diberi kepadanya untuk dinilai ialah 'Memusuhi Penguasa Murtad'; 'Dunia Tanpa Suami siri 2'; 'Perjalanan Cinta Isteri Seorang Mujahid' dan kamus Al-Kautsar iaitu terjemahan Bahasa Arab - Bahasa Melayu.

Kamarudin, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata Manivanan datang ke pejabatnya dan memintanya menilai buku-buku tersebut dari perspektif pemikiran Islam.

"Saya diminta membaca dan menilai lima buku ini, sebagai pakar dalam bidang pemikiran Islam," katanya semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nurdeenie Abdul Rashid pada perbicaraan Yazid, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35.

Yazid, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia, manakala Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.

Mereka didakwa melakuk/an kesalahan itu di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Kamarudin berkata kesemua buku itu diterimanya pada 15 Julai 2013 daripada pegawai penyiasat itu, dan mengambil masa hampir dua bulan untuk membaca kelima-lima buku tersebut sebelum membuat laporan daripada hasil bacaannya.

Beliau yang telah berkhidmat sebagai pensyarah hampir 22 tahun berkata berdasarkan penilaiannya, bagi buku berjudul 'Memusuhi Penguasa Murtad'; kefahaman yang cuba diberikan penulis ialah menentang dan memusuhi pemerintah negara yang diistilah sebagai murtad.

Sementara buku 'Dunia Tanpa Suami siri 2'; merupakan buku rintihan isteri-isteri yang suami mereka ditahan di bawah ISA, manakala 'Perjalanan Cinta Isteri Seorang Mujahid' menceritakan perjuangan seorang isteri untuk membebaskan suaminya yang ditahan di bawah ISA, katanya.

"Buku Perang Akhir Zaman pula seolah-olah menunggu kiamat. Buku ini mempunyai 11 bab 50 subtopik yang membincangkan pelbagai perkara berhubung perang, perancangan musuh, konspirasi barat dan Yahudi dan lain-lain yang mencecah 440 muka surat," kata Kamarudin.

Ketika ditanya Nurdeenie sama ada buku-buku itu boleh menyebabkan masyarakat yang membacanya cenderung untuk bersifat radikal, Kamarudin berkata ia bergantung kepada cara pembaca cuba memahami dan menghayati buku tersebut.

"Apabila kita membaca buku bersifat radikal, ia boleh memberi kesan kepada corak berfikir kita," katanya yang turut mengakui memang terdapat buku memperjuangkan ideologi radikal.

Ketika ditanya Nurdeenie berhubung kesan buku itu kepada pembacanya, Kamarudin berkata, mereka yang tidak mempunyai asas agama yang kuat mungkin boleh terdorong untuk mengambil tindakan secara keganasan.

Bagaimanapun, Peguam Amer Hamzah Arsyad yang mewakili Yazid dan Hilmi membantah soalan tersebut dan direkod oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung pada Rabu.

Yazid Sufaat, Perang Akhir Zaman

Artikel Lain