suria

Pembalakan Haram: SPRM Beku 375 Akaun Bernilai RM560 Juta

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 375 akaun bernilai melebihi RM560 juta dalam pembongkaran terbaharu terhadap pembalakan haram dan rasuah balak di Sarawak.

SPRM turut merampas lebih 500 kayu balak semasa operasi bersama untuk memperketatkan kawalan ke atas aktiviti pembalakan haram.

Di bawah Ops Gergaji, kira-kira 400 kakitangan SPRM, polis, Jabatan Perhutanan Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu 48 lokasi pembalakan, kilang papan dan premis perniagaan di negeri tersebut pada Selasa.

Serbuan itu turut dilakukan serentak di 13 lokasi di Miri, 12 di Kuching dan Sibu, enam di Bintulu, tiga di Bakun manakala dua lagi di Kapit.

"Kami turut melakukan serbuan berdasarkan siasatan terperinci dan maklumat yang diperolehi SPRM dan agensi terlibat," kata Pengarah Bahagian Siasatan, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah dalam satu kenyataan.

Beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan dibawah Seksyen 17 (a) dan 17 9b) Akta SPRM serta Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

"Operasi tersebut menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membanteras aktiviti rasuah dalam sektor pembalakan dan pembalakan haram di Sarawak.

"Aktiviti seperti itu dipercayai menyebabkan kerugian bernilai bilion ringgit kepada kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.

Artikel Lain